Siapa yang tidak tahu bangunan ikonik Pusat Dagangan Dunia Putera, tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO saban tahun. Bangunan setinggi 40 tingkat ini mula dibina pada tahun 1981 dan disiapkan sepenuhnya pada lewat 1984.
Pada 2 September 1985, PWTC ini dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sejak itu, bangunan ini menjadi lokasi tetap Persidangan Agung UMNO sehingga hari ini. Dibina dengan ciri-ciri binaan Melayu, bangunan ini boleh dianggap sebagai ikon negara serta menjadi lambang kekuasaan UMNO di Malaysia.
Namun, dengan peningkatan kehadiran ahli yang membanjiri PWTC yang dicatatkan setiap kali Persidangan Agung UMNO saban tahun, wujud idea untuk membina sebuah lagi bangunan khas untuk membolehkan para perwakilan UMNO bersidang. Pada Perhimpunan Agung kali inilah, akhirnya diputuskan keperluan untuk membina Putra World Trade Center Kuala Lumpur (PWTC KL).
Pada 29 November yang lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah merealisasikan rancangan pembinaan bangunan ikonik ini. Beliau hadir dalam acara pecah tanah bagi menandakan pembinaan bangunan baru UMNO ini. Apa rasionalnya pembinaan bangunan ini? Perlukah bangunan baru ini dibina?
PWTC KL di rancang dibina di sebelah bangunan asal PWTC yang ada hari ini. Bangunan ini dirancang dibina setinggi 70 tingkat dengan dilengkapi Dewan Putrade, pembangunan semula Dewan Tun Razak 1 dan 2 menjadi sebuah dewan baharu yang luas dan bertaraf dunia, serta projek menaik taraf bangunan sedia ada iaitu Menara Dato Onn, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.
Malah PWTC KL akan dijelmakan dengan bangunan baharu pejabat dan hotel bertaraf enam bintang dengan keluasan lantai 111,484 meter persegi dan akan dibangunkan di atas tapak Hentian Putra, berhadapan dengan bangunan asal PWTC.
Jika ada yang mempersoalkan kerelevanan pembinaan bangunan ini, mereka harus melihat bagaimana keadaan PWTC yang ada pada hari ini yang dilihat cukup sesak dengan ahli UMNO dan para perwakilan. Malah, secara amnya, setiap kali persidangan diadakan, lokasinya agak sedikit berterabur dengan para pengunjung terpaksa berjalan agak jauh untuk kesatu-satu destinasi.
Malah, jika dilihat kepada faktor strategik dan masa hadapan, PWTC KL ini dilihat boleh disambunkan terus dengan pembinaan Taman Tugu yang turut akan bermula tidak lama lagi. Ini mencetuskan kelestarian suasana Bandaraya Kuala Lumpur yang cukup sinonim dengan kesesakan yang melemaskan.
Dengan keahlian UMNO mencecah lebih 3.5 juta hari ini, bangunan ini bolehlah dianggap sebagai ikon UMNO dan Kuala Lumpur dan menunjukkan perjalanan yang cukup panjang buat UMNO untuk merealisasikan impian memiliki bangunannya sendiri. Lebih menarik, secara ironinya, pembinaan bangunan ini akan bermula pada 11 Mei 2017 sempena usia UMNO 71 tahun.
Dengan mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan, dijangka, bangunan ini akan membolehkan sebarang persidangan diadakan dengan lebih tersusun termasuk ianya boleh digunakan sebagai apa jua jenis mesyuarat dan majlis yang dianjurkan oleh negara.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini