Tidak tahu di mana silapnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir kini diambang konflik dalaman yang amat serius. Parti yang baru sahaja berusia 3 bulan ini dilihat bergolak setelah banyak isu dan skandal menyelubungi kepimpinan parti ini yang sehingga kini masih gagal ditangani dengan baik oleh Mahathir mahupun Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden.
Semuanya bermula apabila tersebarnya surat akuan bersumpah yang yang dibuat oleh seorang peguam yang mendakwa, isternya mempunyai hubungan sulit dengan Muhyiddin Yasin sewaktu masih berkhidmat dalam kerajaan. Dari sinilah bermulanya ugutan politik pertama dicatatkan dalam parti ini.
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, seorang pengikut tegar Mahathir, dilihat sanggup meninggalkan parti baru ini disebabkan banyak perkara yang beliau sifatkan gagal ditangani dengan baik oleh Muhyiddin. Beliau pernah berkata, selagi Muhyiddin mengetuai parti ini, usah harap sebarang sokongan diberikan olehnya walaupun beliau menjadi pengikut tegar Mahathir.
Tidak lama kemudian, tersebarnya transkrip perbualan erotik bekas Ketua Srikandi PPBM, Anina Saaduddin. Anina yang sehingga kini masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung isu ini, teruk ditekan oleh orang dalam parti sehinggalah beliau akhirnya dipecat dari jawatannya pada 23 Disember yang lalu.
Apa yang menariknya disini adalah, reaksi pertama yang ditunjukkan Anina setelah beliau dipecat dari jawatannya dalam parti. Tidak dipastikan samada sengaja atau tidak, dalam satu status yang dimuat naik olehnya di dalam laman sosial Facebook miliknya, beliau dikatakan akan membongkar segala rahsia melibatkan beberapa orang pemimpin PPBM jika dirinya terus menerus dicabar untuk berbuat demikian.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, Ezam Mohamad Noor, individu yang dikatakan mempunyai 6 kotak bukti penyelewengan yang berlaku di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir pula tampil dengan ugutan terbaru, konon mempunyai dokumen yang mendedahkan kepincangan kerajaan hari ini. Adakah PPBM ini sebuah parti yang diwujudkan berasaskan dendam kesumat?
Jika dilihat dari semua rentetan perkara yang berlaku di dalam PPBM sejak parti ini sah didaftarkan, sememangnya tuduhan dendam antara satu sama lain ini berasas. Malah, kewujudan PPBM juga berkisar kepada dendam kesumat yang ada pada diri Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden dan majoriti kepimpinan parti terhadap parti induk mereka, UMNO.
Justeru, tidak hairanlah apabila PPBM bergerak berdasarkan dendam kesumat masing-masing sehingga mewujudkan satu cara politik baru iaitu politik peras ugut. Jika inilah yang diamalkan oleh PPBM, percayalah, parti seumpama ini tidak akan mampu bertahan lama kerana setiap orang di dalam parti ini pasti akan mengeluarkan ugutan supaya tempat dan kuasa mereka sentiasa terlindung dari sebarang ancaman.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini
