Get $25 free
loading...

Mengajar universiti untuk belajar

Pada kebisaannya mahasiswa yang didapati bersalah akan melakukan semakan undang-undang kepada universiti, dan biasanya mereka akan menang di mahkamah awam.

KOMEN

auku1Oleh Rahman Imuda

Beberapa tahun kebelakangan ini beberapa peristiwa yang melibatkan mahasiswa digantung pengajian berlaku.

Pada kebisaannya mereka yang didapati bersalah akan melakukan semakan undang-undang kepada universiti, dan biasanya mereka akan menang di mahkamah awam seperti yang berlaku pada saudara Fahmi Zainal.

Terbaru 4 mahasiswa Universiti Malaya (UM) didapati bersalah atas pertuduhan masing-masing berkaitan demonstrasi Tangkap Malaysian Offical One yang berlangsung pada Ogos tahun ini. Tiga daripada mereka digantung satu semester manakala seorang lagi dikenakan denda.

Jika kita meneliti “jenayah” dilakukan kebanyakan mahasiswa yang dikenakan tindakan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sejak akhir-akhir ini, kita akan mendapati apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang berlandaskan rasa tanggungjawab dan kebebasan berakademik.

Kita tidak mungkin melupai kisah Hanipa Mahpa dan Afiqah Zulkifli yang digantung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akibat menganjurkan satu forum berkenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pada tanah suci universiti yang di dalamnya terdapat pakar ekonomi, menggantung 2 pelajar yang menganjurkan forum berkenaan cukai dan menjemput wakil daripada pihak pembangkang dan kerajaan.

Ketika itu saya berfikir universiti kita seperti sudah

hilang kewarasannya dalam menghukum mahasiswa. Kini 4 mahasiswa ini pula dihukum kerana terlibat dengan demonstrasi aman.

Proses yang sama akan berulang, UM akan “disaman” oleh keempat-empat mahasiswa ini, dan saya mempunyai keyakinan mereka akan menang. Tapi persoalan yang ingin saya lemparkan kepada diri saya dan kita semua, adakah universiti akan belajar daripada semua ini?

Saya fikir kegagalan universiti untuk belajar daripada peristiwa sebelum ini disebabkan beberapa faktor yang kita mungkin terlepas pandang.

Pertama sekali, saya melihat penglibatan masyarakat dalam aktiviti mahasiswa masih terlalu kurang, masyarakat masih tidak melihat mahasiswa sebagai wakil yang boleh dipercayai untuk membawa suara dan memperjuangkan hak mereka.

Saya fikir kebanyakan aktivis mahasiswa perlu lebih banyak turun ke kampung berbanding ke Parlimen menghantar memorandum.

Ketika turun di kampung pula, tugas utama mahasiswa bukan untuk sekadar “selfie” lalu memuat naik di media sosial, tapi cuba memahami masalah besar dihadapi penduduk kampung.

Melalui masalah yang ada, mahasiswa haruslah mencari solusi dengan tidak terlalu mengharapkan “orang besar” untuk menyumbang, sebaliknya berusaha membantu secara berdikari walaupun pada skala yang kecil.

Apabila jalinan seperti ini terbina, maka hubungan mahasiswa-masyarakat semakin intim. Mahasiswa akan mula faham tentang ketenatan isu yang masyarakat hadapi, dan masyarakat pula akan mula mengembalikan kepercayaan kepada mahasiswa untuk membela nasib mereka.

Kemudian apabila ada mahasiswa dianiayai pihak universiti maka mahasiswa akan mendapat sokongan penuh daripada masyarakat untuk mendesak universiti memberi keadilan.

Sekarang, kelihatannya perjuangan mahasiswa yang ada hanya untuk golongan pintar dan terpelajar. Ini menyebabkan golongan masyarakat yang kurang terpelajar “malu” untuk turut serta dalam perjuangan tersebut.

Akhirnya gerakan mahasiswa hanya kelihatan “gah” sesama mereka tapi dipandang sebagai “syok sendiri” pada masyarakat.

Selain itu, faktor kelemahan kesatuan mahasiswa nasional yang ada juga menyebabkan sehingga masa kini kita masih gagal untuk mengajar universiti.

Mahasiswa berada pada fasa perpecahan yang sudah terlalu lama, sehingga kini kebanyakan “front” mahasiswa yang ada hanya sibuk bertanding untuk menjadi yang terunggul dalam kalangan gerakan mahasiswa nasional.

Seandainya, mahasiswa mempunyai satu “badan induk” mahasiswa yang bersifat inklusif dan dapat mempunyai ekonomi yang ukuh, maka pasti tidak mudah untuk universiti menghukum mereka sesuka hati.

Kewujudan “badan induk” mahasiswa ini juga akan mengurangkan kebergantungan mahasiswa dengan badan ketiga yang pada kebiasaannya hanya ingin mengambil kesempatan.

Seterusnya, kekurangan “safety net” dalam perjuangan mahasiswa juga menyebabkan ramai mahasiswa enggan untuk turut serta dalam perjuangan mahasiswa yang agak radikal.

Apabila golongan aktivis cuma berada pada bilangan kecil, maka mudah untuk universiti mengenakan tindakan disiplin.

“Safety net” yang saya maksudkan ialah bantuan dan peluang yang akan diberikan kepada mahasiswa apabila dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti.

Sebagai contoh, apabila ada mahasiswa yang digantung maka seharusnya mereka diberikan bantuan seperti dihantar ke universiti luar negara misalnya untuk meneruskan pengajian atau diberikan peluang pekerjaan sementara menunggu untuk meneruskan pengajian.

Kemudian “safety net” itu biarlah tidak bersifat selektif dan hanya diberikan kepada aktivis yang popular saja dan aktivis non-popular dibiarkan terkapai-kapai. Saya percaya jika gerakan mahasiswa ada “safety net” maka pasti lebih ramai mahasiswa akan berani untuk vokal.

Salah satu sebab lagi yang menyebabkan mahasiswa gagal mengajar universiti untuk belajar adalah kerana terlalu banyak gerakan mahasiswa yang “bergantung” dengan parti politik.

Kebanyakan parti politik pada masa kini rakus menjadikan mahasiswa sebagai “pawn” dalam permainan catur politik mereka. Mereka akan ada ketika mahasiswa memperjuangkan sesuatu yang memberi keuntungan kepada mereka, dan apabila mahasiswa itu dikenakan tindakan atas perjuangan itu, mereka hilang entah ke mana.

Paling jauh mereka boleh memberi solidariti, memberikan kata-kata simpati atau menyediakan tabung untuk membantu. Aksi seperti ini, ketua kampung yang tak terpelajar pun boleh lakukan. Mahasiswa perlu bebas daripada cengkaman parti oportunis dan hanya mahu mengaut keuntungan terhadap mahasiswa.

Sebagai penutup, kita harus mengakui pada hari ini universiti belum lagi belajar daripada peristiwa yang melibatkan mahkamah awam dan ini bermakna universiti belum lagi mempunyai rasa “gerun” untuk menghukum mahasiswa atas sebab yang tidak munasabah.

Pada pandangan saya, mahasiswa era 2010-an sedang menyediakan satu tapak asas kepada gerakan akan datang, kerana kita boleh melihat kerancakan aktivisme mahasiswa mula tumbuh semula.

Gerakkan mahasiswa perlu banyak belajar, bertoleransi, berekonomi dan tidak khusus untuk golongan tertentu saja. Semoga satu hari nanti universiti akan belajar.

Rahman Imuda ialah aktivis mahasiswa dan pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini

Previous
Next Post »
loading...