Get $25 free
loading...

Mahasiswa perlu persoalkan segalanya

Seorang profesor berkata mahasiswa tidak sepatutnya dilazimkan untuk berfikir seperti hamba jika mereka mahu menjadi kreatif dan berjaya.

tajuddin-rasdi-1

PETALING JAYA: Pelajar universiti perlu menjadi kritikal terhadap semua perkara yang diajar kepada mereka dan mempersoalkan setiap pengajaran dan larangan dikeluarkan pihak berkuasa universiti, kata Tajuddin Rasdi.

Pensyarah jurusan seni bina di UCSI University itu berkata dengan cara itu saja, pelajar dapat

memperoleh “pengetahuan sebenar”.

“Universiti sepatutnya mengajar pelajar menjadi kritikal dan mempersoalkan segala-galanya. Dalam kuliah, anda perlu ada orang yang berbeza pandangan. Begitulah caranya anda temui pandangan baharu,” katanya.

Beliau berkata malangnya keadaan itu tidak berlaku di universiti dalam negara pada masa ini.

“Hari ini, jika universiti itu menentang gerakan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender), ia akan mengadakan seminar anti LGBT. Bagaimana kita hendak melihat di sisi lain isu itu? Itu bukan pengetahuan, itu pelaziman,” katanya.

Tajuddin berkata “pelaziman” bermaksud seseorang itu tidak digalakkan berfikir untuk diri sendiri, seolah-olah seseorang itu hamba.

“Anda lazimkan hamba untuk berfikir dalam cara tertentu dan buat kerja tertentu.

“Jika universiti bermaksud untuk melazimkan pelajar dan anda harap pelajar tidak buat perkara yang anda larang, maka anda tidak akan dapat perkembangan. Anda akan selalu terkebelakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan 2 universiti awam yang menghukum aktivis pelajar Anis Syafiqah dan Asheeq Ali kerana menyertai himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 pada 27 Ogos.

Anis, pelajar Universiti Malaya (UM) dan 2 yang lain digantung pengajian satu semester dan denda RM400 sementara Asheeq dari Universiti Kebangsaan Malaysia digantung satu semester dan denda RM200.

Mereka didapati bersalah mencetuskan kemudaratan kepada kepentingan dan reputasi universiti masing-masing, keselamatan awam dan melanggar undang-undang universiti kerana menganjurkan dan menyertai himpunan itu.

Tajuddin berkata pelajar ke universiti untuk menerokai benda baharu.

“Jika anda datang sini hanya untuk mendapatkan kerja, dapat ijazah supaya dapat jadi arkitek, maknanya anda ialah pelajar perdagangan di sekolah perdagangan,” katanya.

Tajuddin berkata di Malaysia pelaziman akan bermula sejak pendidikan formal kanak-kanak.

“Sistem pendidikan Malaysia cuba untuk menyeragamkan pelajar. Mereka suruh anda pakai uniform ini, potong rambut seperti ini, kasut ini.

“Di AS, mereka tidak perlu seragam. Mereka diberikan kebebasan individu dan itu menjadi kunci utama kreativiti dan kejayaan mereka dalam industri, sains dan lain-lain,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini

Previous
Next Post »
loading...