Seperti yang dijanjikan, awal pagi ini, Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur telah menghimpunkan lebih 20 ribu orang peserta. Seawal jam 7.30 pagi, orang ramai berpusu-pusu menghadiri Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya yang disifatkan sebagai pembantaian etnik besar-besaran.
Tanpa mengira apa jua fahaman politik, hadirin yang terdiri daripada dua parti utama kaum Melayu, UMNO dan PAS hadir sebagai tanda bantahan terhadap sikap kerajaan Myanmar yang seolah-olah cuba menutup isu penghapusan etnik di Rakhine.
Dengan dihadiri oleh para pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shahidan dan lain-lain pemimpin utama UMNO serta disertai oleh pemimpin utama PAS seperti Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Datuk Takiyuddin, Datuk Tuan Ibrahim, ianya nyata memberi dimensi baru terhadap penyatuan ummah di negara ini.
Lebih utama, sekitar jam 9.20 pagi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir seperti yang dijanjikan oleh pihak penganjur. Detik yang dinanti-nantikan akhirnya tiba pada jam 9.35 pagi apabila Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tiba seperti mana beliau janjikan semasa hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu.
Diberitakan, kerajaan Myanmar semalam telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa andai Perdana Menteri tetap hadir dalam perhimpunan ini, ianya telah mencabar kedaulatan Myanmar. Namun, bagi Datuk Seri Mohd Najib, ianya bukan satu halangan untuk beliau turut sama menyatakan sokongan kerajaan terhadap etnik Rohingya yang jelas terjejas akibat penginayaan yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar.
Menarik untuk disaksikan, bagaimana laungan Allahuakhbar yang dilaungkan oleh kesemua 20 ribu orang peserta menggegar seluruh kawasan Tasik Perdana.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini
