Get $25 free
loading...

Kementerian Pendidikan Tinggi Tiada Kaitan Umrah YBNT

Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini menolak dakwaan bahawa pihaknya terbabit dengan program penajaan guru mengerjakan umrah bersama Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT).

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihaknya tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan pertubuhan itu dan tidak mengetahui sebarang kegiatan YBNT yang dilaporkan aktif melaksanakan aktiviti pendidikan dan kebajikan.

“Saya tidak pernah menandatangani sebarang surat sokongan kepada YBNT bagi menjalankan aktiviti kebajikan di negeri ini,” katanya.

Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian pakaian seragam sekolah kepada 500 pelajar sekolah daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, dekat sini hari ini.

Menurutnya, sebarang surat yang mengaitkan kementerian sama ada menyokong program YBNT atau sebagainya, adalah surat palsu yang mungkin dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, media sosial memaparkan surat yang mengaitkan nama Idris dalam YBNT setelah timbulnya isu kegagalan kira-kira 2,000 jemaah ke Makkah.

Menerusi kenyataan media baru-baru ini YBNT mendakwa, pihaknya memperoleh sumber kewangan daripada badan korporat Bumiputera dan ahli politik bagi melaksanakan program pendidikan dan keagamaan termasuk menaja pakej umrah.

Minggu lalu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tiada kaitan dengan YBNT dan pernah menolak permintaan mereka untuk bekerjasama kerana timbul keraguan terhadap dana yang diperoleh.

Susulan pelbagai isu, pejabat YBNT yang terletak di bandar Jerteh juga didapati telah ditutup.

Comments

Share This:



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...