Menteri Besar Selangor tidak mahu bersama dengan pengurusan bola sepak yang berpolitik secara berlebihan dan bergantung kepada subsidi.
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor hari ini meletak jawatan sebagai presiden persatuan bola sepak negeri kerana membantah budaya “politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi” dalam FAS.
Katanya, beliau tidak mahu bersama dengan organisasi dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor yang “tidak berwibawa”, “tidak komited” kepada perubahan, yang “bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab” dan “mengecewakan penyokong dan rakyat”.
“Malah, sehingga kini, barisan exco FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang (penswastaan penuh Liga Malaysia) 2018,” katanya.
Azmin menyandang jawatan presiden sejak Disember 2014. Pengurus pasukan, Amirudin Shari, yang juga exco dipertanggungjawab untuk menyediakan dana dan memperkukuh mutu bola sepak negeri turut meninggalkan FAS.
“Malangnya, setelah hampir 2 tahun kami bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan EXCO FAS untuk mendukung perubahan.”
FAS dilaporkan mengalami krisis kewangan selepas tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri untuk perbelanjaan musim depan.
Kelab penyokong kerajaan, Otai Reformis, mendesak persatuan bola sepak negeri menjelaskan bagaimana mereka membelanjakan RM23 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan bola sepak tahun ini.
Lantaran kegagalan pengurusan menyelesaikan masalah kewangan persatuan, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin “mencadangkan” mereka supaya berundur agar “pasukan berkebolehan yang baharu dapat memulihkan organisasi tenat ini”.
Azmin bagaimanapun memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada kemajuan sukan bola sepak negeri melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak.
“Kami memberi jaminan kepada penyokong bolasepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bolasepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini
