Get $25 free
loading...

PRODUK QU PUTEH DISABOTAJ KERANA AJL?

Produk Qu Puteh Disabotaj Kerana Anugerah Juara Lagu?..

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hasmiza Othman kini menyerahkan segalanya kepada Allah dan enggan melayan dakwaan produknya Qu Puteh disabotaj pihak tertentu.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd berkata sukar untuk membuat telahan di saat program Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 yang ditajanya bakal berlangsung malam esok.

“Di saat-saat AJL, ramai orang minat AJL tetapi saya tidak tahu, saya berserah dan saya tawakal.

“Ramai yang menyokong dan memahami keadaan saya. Kata-kata semangat daripada mereka menjadikan saya kuat berjuang,” katanya, mesra juga dipanggil Dr Vida, kepada ProjekMMO.

Qu Puteh, jenama yang menjadi buah mulut ramai, menerima tamparan semalam apabila Malaysia dan Brunei mengharamkan Qu Puteh Whitening Pro 9 kerana mengandungi merkuri.

Brunei juga melarang jualan Qu Puteh Whitening UV Block selepas dua produk ini didapati mengandungi bahan kimia berbahaya itu.

Bagaimanapun Qu Puteh Whitening UV Block tidak dilarang di Malaysia.

Susulan itu, pengurus eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd dilaporkan mengesyaki terdapat “elemen sabotaj” selepas produk Qu Puteh itu diharamkan.

“Kami masih menyiasat. Kami bimbang terdapat elemen sabotaj kerana Hasmiza menaja AJL dan beliau semakin terkenal,” kata Afizah Hashim kepada portal The Star hari ini.

Selain program TV3 itu, Vida Beauty Sdn Bhd juga menaja Kelantan sebanyak RM16 juta bagi dua musim dan kini pasukan bola sepak itu dikenali Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan akan memanggil pengeluar Qu Puteh bagi meminta penjelasan mengapa bahan berbahaya terdapat dalam produk itu.

“Memang menjadi amalan biasa, kami membuat pemantauan dan ujian ke atas setiap sampel produk kosmetik termasuk bagi produk Qu Puteh.

“Ia [Qu Puteh] juga telah dibuat ujian sebelum ini dan didapati mematuhi peraturan, bagaimanapun sampel terbaharu ini mempunyai merkuri,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya hari ini seperti dilaporkan Bernama.

Mengulas hal itu, Hasmiza berkata kementerian belum menghubunginya, namun pertemuan bersama pihak berkenaan dijangka diadakan minggu depan.

Beliau hairan apabila Kementerian Kesihatan menjumpai kandungan merkuri yang tinggi dalam krim pemutih keluarannya, namun berjanji akan meneliti perkara itu.

“Saya sedang meneliti perkara ini. Saya pun hairan tengok,” katanya. - Bernama.
Previous
Next Post »
loading...