Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya.
Sesungguhnya, pemimpin agung kita iaitu Nabi Muhammad SAW telah diputerakan pada tahun 570 Masihi di Kota Makkah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal iaitu bulan ketiga dalam taqwim Islam. Kelahiran Nabi Muhammad SAW ini merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.
Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan seluruh ajaran dan syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia seperti firman Allah SWT di dalam surah Al- Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud :
“Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam”.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW di tengah-tengah kejahilan masyarakat Arab pada ketika itu juga telah membawa satu transformasi yang terunggul di dalam lembaran sejarah dunia peradaban Islam. Risalah baginda berpaksikan wahyu Ilahi bertujuan untuk melahirkan umat Islam yang mengesakan Allah SWT tidak ternoktah di Semenanjung Tanah Arab sahaja, tetapi meliputi seluruh benua, bangsa dan keturunan di dunia ini.
Justeru, marilah kita mencontohi akhlak, sifat dan kepimpinan beliau dalam pelbagai aspek kehidupan. Kita selaku umat Nabi Muhammad SAW wajar untuk sentiasa mengenang perjuangan Baginda dalam menyebarkan dakwah Islam. Hasil perjuangan dakwah Baginda Rasulullah SAW dan pengorbanan para sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan islam pada hari ini.
Hakikatnya, umat Islam pada hari ini mesti berpegang teguh dengan seluruh seruan dan akhlak Rasulullah SAW untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah SWT.
Baru-baru ini, berlakunya kejadian letupan bom di Masjid Ar-Raudhah, Sinai Utara, Mesir yang telah mengorbankan 235 nyawa. Kita merakamkan ucapan takziah ke atas keluarga mangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman tersebut. Kita juga akan terus menyuarakan sokongan terhadap nasib saudara Islam kita yang ditindas seperti di Palestin dan etnik Muslim di Rohingya. Marilah kita berdoa semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan keteguhan iman bagi saudara-saudara kita yang diuji dengan keperitan di mana sahaja mereka berada.
Sebagai iktibarnya, marilah kita mempertahankan kesucian agama Islam, sentiasa menjaga keharmonian dan kesefahaman antara agama yang telah lama kita bina. Yakinlah bahawa sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang utama kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di Negara ini.
Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini, “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara”, maka, makna perpaduan ini adalah sangat penting sebagai penghayatan yang dapat diterjemahkan dalam bentuk kesatuan yang dimulakan dengan pembinaan asas dalam institusi kekeluargaan sehingga dapat menyemai semangat patriotisme di dalam diri.
Kita sentiasa istiqamah dalam melakukan transformasi menuju sebuah Negara Islam maju dan progresif menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berasaskan Maqasid Syariah serta berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Semoga dengan sambutan Maulidur Rasul dan komitmen perpaduan kita, Allah SWT sentiasa merahmati dan memberkati NEGARAKU yang tercinta ini dalam mencapai Par Excellence duniawi dan Par Excellence ukhrawi. Insya-Allah. Salam Maulidur Rasul 1439H/2017M.
Sekian,
Wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini