Get $25 free
loading...

Umat Islam dinasihat semak status pengelola umrah di i-Umrah

Ketua pengarah jabatan itu berkata ia bagi membendung masalah penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa dan melibatkan ramai mangsa terutamanya golongan kurang berkemampuan.

jawhar_haji_600

PENDANG: Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) menasihatkan umat Islam menyemak maklumat status agensi pengelola umrah melalui portal i-Umrah jabatan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Ketua pengarah jabatan itu Ahmad Musadad Sulaiman berkata ia bagi membendung masalah penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa dan melibatkan ramai mangsa terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Portal itu menyediakan maklumat seperti senarai agensi pengelola umrah yang sah, boleh dilayari melalui laman web http://ift.tt/2pv90Dl, katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Jawhar “Bersama Santuni Masyarakat” di Kampung Pondok Chegar hari ini.

i-Umrah ialah portal dibangunkan khas bagi menyalurkan maklumat agensi pengelola umrah yang sah sebagai rujukan dan panduan kepada bakal jemaah umrah negara ini.

Secara dasarnya, portal ini menyediakan maklumat seperti senarai agensi pengelola umrah yang sah bagi menguruskan perjalanan jemaah umrah Malaysia dan butiran mengenai syarikat pengelola umrah seperti nama syarikat, nombor telefon dan faksimili.

Ahmad Musadad berkata statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia merekodkan kerugian berkaitan penipuan umrah lebih RM21 juta membabitkan 3,482 kes dari 2012 hingga Oktober tahun lepas.

Beliau tidak menolak kemungkinan kebanyakan kes penipuan itu berlaku disebabkan sikap jemaah mahukan pakej terlalu murah tanpa menyelidiki latar belakang sesuatu syarikat tersebut.

“Kerajaan sudah menetapkan harga lantai bagi pakej umrah sebanyak RM4,900 dan mana-mana harga lebih rendah daripada itu meragukan dan tidak boleh dipercayai.

“Berhati-hatilah dalam pembelian pakej umrah dan kalau ditawarkan bawah harga lantai RM4,900, siasat dahulu… kalau rasa ragu-ragu pilihlah syarikat dan agensi yang terbukti berwibawa dalam urusan berkaitan umrah agar urusan berkaitan visa berjalan lancar,” katanya.

Ahmad Musadad berkata umat Islam juga perlu berurusan dengan ejen pelancongan berdaftar dan berlesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi pengendalian umrah agar tidak mudah tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, seramai 500 asnaf fakir miskin dan pelajar sekolah di daerah Pendang menerima bantuan berupa barangan keperluan dapur, wang zakat serta pakaian seragam sekolah pada majlis itu.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...