Mahkamah turut memerintahkan jam tangan Tag Heuer dan barangan mewah lain diserahkan kepada kerajaan.
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus besar anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihukum penjara 6 tahun dan denda RM5.4 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas 8 pertuduhan menerima rasuah melebihi RM1 juta termasuk sebuah kereta mewah, BWM, 4 tahun lalu.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Dr Shahanom Uthman, 53, bekas pengurus besar (Bahagian Projek dan Servis) Malaysia Transfomer Manufacturing Sdn Bhd (MTM).
Sekiranya gagal membayar denda, dia akan dipenjara 26 tahun. Bagi setiap pertuduhan tersebut, Shahanom dihukum penjara antara 2-6 tahun serta didenda antara RM75,000 dan RM1.65 juta. Kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.
Azura membenarkan permohonan tertuduh untuk menggantung perlaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan, bagaimanapun denda keseluruhan perlu dibayar selewat-lewatnya pada 22 Januari tahun depan
Hakim berkata mahkamah tidak mempercayai keterangan pembelaan tertuduh kerana tidak konsisten dan hanya penafian semata-mata.
Mahkamah turut memerintahkan agar barangan peribadi seperti kereta mewah, cincin, beg tangan dan jam tangan jenama Tag Heuer dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM940,000 dan sebuah kereta BMW bernilai RM140,000 daripada Pengarah Syarikat Bina Mekar Sdn Bhd, Ahsan Sabri Pang Abdullah dan pekerja syarikat tersebut, Te Boon Chun sebagai upah agar memberi diskaun kepada timbangan berat tembaga yang belum diproses.
Shahanom dituduh melakukan kesalahan tersebut di 5 lokasi tempat letak kereta iaitu di bangunan Starhill Gallery, KL Festival City, Restoran Stadium Negara, Restoran ZK Al-Azmi Garden dan di pejabat Bina Mekar antara 11.30 pagi dan 9 malam, antara 5 Disember 2013 dan 18 Disember 2014.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abd Moin.
Fahmi memberitahu media bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap keputusan itu.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini