Satu siasatan audit dalaman penuh dan terperinci akan dilakukan oleh pihak ketiga yang bakal dilantik bermula Januari depan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengenalpasti adakah berlaku sebarang pelanggaran dalam proses pemberian surat kuasa wakil penuh (FPA) ke atas empat tanah milik FELDA di Jalan Semarak.
Proses itu kini bukan sahaja melibatkan pemberian surat kuasa tetapi difahamkan tanah itu sudah ditukar hak milik kepada syarikat pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Lebih pelik, proses itu melibatkan penukaran hak milik oleh syarikat berkenaan iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd kepada diri ia sendiri dengan kuasa FPA berkenaan membuatkan FELDA sudah kehilangan hak milik ke atas keempat-empat tanah berkenaan.
Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam satu sidang media hari ini di Menara FELDA berkata satu laporan polis juga sudah dibuat pada 12 Disember 2017 untuk pihak polis menyiasat perkara berkenaan.
Menurut beliau, pihak FELDA pelik kerana sebelum ini FELDA adalah pemegang hak milik ke atas tanah-tanah berkenaan tapi tiba-tiba mereka sudah kehilangan hak itu.
“Kita pelik sebenarnya, takkanlah kita ini sebagai pemegang amanah kepada tanah itu, alih-alih bukan tanah kita, dan kononnya tanah itu sudah dijual melalui FPA tetapi kita tak ada duit, tidak dapat apa-apa duit, jadi macam mana keadaan tu? Peliklah pada saya.
“Kita membuat laporan polis selepas kita bawa perkara ini kepada Kawal Selia di JPM, dan diangkat pula pada pandangan Peguam Negara dan dibuatkan keputusan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya.
Shahrir berkata laporan polis dilakukan bukan atas tindakan FELDA sendiri tetapi selepas melalui proses-proses yang perlu kerana FELDA dikawal selia oleh pihak JPM.
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.
Proses pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Cor-poration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di JPM, Datuk Razali Ibrahim yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata pihak FELDA pada awal tahun ini sudah pun meletakkan kaveat untuk melindungi kepentingan FELDA ke atas tanah itu daripada ia hilang terus kepada pihak lain.
“Perkara ini pertama kali sampai ke pengetahuan YAB Perdana Menteri dan saya pada Februari bila FELDA cuba masukkan kaveat persendirian bagi melindungi tanah mereka, dan dinasihatkan, kemudian kita melihat dokumen dan pada April 2014, Kaveat persendirian itu dapat dimasukkan.
“Daripada masa itu sehinggalah sekarang, sudah tentu banyak usaha telah dilakukan termasuk berunding.
“Yang paling penting, at all cost, we want our land back sebab FELDA tak dapat pembayaran pun kepada perpindahan itu,” kata Razali.
Menurut beliau, sebaik pihak FELDA mengetahui perkara ini beberapa siri rundingan sudah dilakukan antara FELDA dengan syarikat Synergy berkenaan untuk mendapatkan kembali hak milik penuh ke atas kesemua tanah berkenaan yang bernilai lebih RM200 juta tetapi tidak mencapai apa-apa kata putus.
Oleh itu, pihak FELDA membuat laporan polis untuk pihak polis menyiasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan yang sepatutnya dari segi undang-undang jika ada unsur salah guna kuasa serta jenayah.
Ketika ditanya adakah FELDA tidak akan membuat laporan polis jika pihak Synergy membayar wang di atas proses penyerahan FPA itu, Shahrir berkata pihaknya tidak berminat dengan wang sebaliknya hanya mahu hak milik tanah berkenaan kembali semula kepada FELDA.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini