Get $25 free
loading...

Sekali lagi, pengerusi SPAD cadang bas ekspres pasang CCTV

Tiga tahun selepas kemalangan bas di Genting yang menyebabkan 37 maut, Tan Sri Syed Hamid Albar kini sekali lagi menggesa cadangan pemasangan CCTV dalam bas ekspres.

cctv-bus-syed-hamidPETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar sekali lagi mengulangi cadangannya yang dibuat pertama kali pada 2013 untuk syarikat bas memasang CCTV dalam kenderaan mereka.

Katanya, selain CCTV semua syarikat bas ekspres dan antara bandar tidak lama lagi akan diperlukan untuk memasang pengehad kelajuan dalam kenderaan mereka sementara pemandu tertakluk kepada sistem demerit, lapor theSun hari ini.

“Bas baharu yang diperkenalkan di pasaran perlu ada pengehad kelajuan pasang siap, tetapi banyak bas sedia ada masih belum dilengkapi

dengan teknologi itu.

“Banyak bas lama tidak dapat dipasang dengan pengehad kelajuan kerana menggunakan teknologi lama, tetapi tidak ada alasan untuk pengeluar bas pada tahun terkini tidak memasangnya.

“Masalahnya ialah, cuba lihat berapa banyak bas sedia ada sudah memasangnya, dan berapa yang belum. Dan bila kemalangan berlaku, ia biasanya kerana mereka tidak mematuhi peraturan dan syarat keperluan SPAD,” katanya kepada akhbar itu.

Syed Hamid berkata syarikat bas perlu mengambil tindakan memasang keperluan itu di kenderaan masing-masing, susulan kejadian nahas bas ekspres di Johor yang mengorbankan 14 penumpang, Sabtu lalu.

Pada Ogos 2013, Syed Hamid dilaporkan berkata SPAD sedang melihat kemungkinan untuk menguatkuasakan pemasangan CCTV, GPS dan kamera DVR di papan pemuka untuk bas ekspres dan bas persiaran, susulan kemalangan bas di Genting Highland yang mengorbankan 37 penumpang pada 21 Ogos tahun itu.

“Cadangan itu boleh dilaksanakan tetapi kita perlu menjalankan kajian terperinci bagaimana untuk memasangnya.

“CCTV, penjejak GPS dan DVR daripada bas boleh membantu untuk memantau tingkah laku pemandu dan nilai apa yang benar-benar berlaku ketika kemalangan,” kata Syed Hamid dipetik berkata pada masa itu.

Tidak diketahui sama ada “kajian terperinci” dijalankan sejak ia dicadangkan Syed Hamid yang juga bekas menteri pada 2013.

Menurut theSun, Syed Hamid berkata SPAD sedang mengkaji kemungkinan memasang telematik, mempunyai fungsi sama seperti kotak hitam yang merekodkan data perjalanan dalam pesawat.

“Walaupun telematik boleh membaca dan merekodkan tabiat dan corak pemanduan, kemalangan tetap boleh berlaku kerana faktor lain seperti kecuaian pemandu.

“Jadi, sama ada kita pasang telematik atau tidak, isunya ialah keselamatan penumpang. Itu sebabnya kami, sebagai contoh meminta supaya CCTV dipasang dalam bas,” katanya dipetik daripada theSun.

Katanya, tujuannya ialah supaya pemandu boleh dipantau secara konsisten dan tindakan dapat diambil oleh syarikat bas jika berlaku kecuaian pemandu, seperti dirakamkan dalam video berkenaan.

Syed Hamid juga mencadangkan sistem demerit untuk pemandu bas untuk mencegah mereka daripada melakukan kesalahan, tetapi SPAD perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, agensi kerajaan tempatan dan polis bagi menjayakan sistem berkenaan.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros), di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, mencadangkan insurans berdasarkan risiko untuk syarikat bas.

Ketua Pengarah Miros Wong Shaw Voon berkata ia adalah salah satu cara untuk memberi tekanan kepada syarikat untuk lebih mengambil berat mengenai keselamatan.

“Syarikat bas yang berdepan risiko tinggi dan tidak menjaga keselamatan patut membayar premium lebih tinggi untuk insurans, sementara mereka yang ada rekod bagus dengan bukti, boleh membayar premium lebih rendah.

“Ia dikawal selia oleh Bank Negara. Saya rasa mereka mungkin sudah mula berbincang mengenai inisiatif itu. Tetapi ia sepatutnya dikenakan kepada syarikat, bukan pemandu,” katanya dipetik daripada theSun.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini

Previous
Next Post »
loading...