Sekian lama, PH sering membuat tomahan terhadap KWSP untuk menakutkan rakyat dan untuk memburukkan kerajaan BN kononnya KWSP sudah lama bankrap, wang KWSP di salahguna ataupun dicuri dan dividen KWSP adalah angka yang palsu dan cuma angka rekaan sahaja.
Sebagai contoh, apabila kadar dividen untuk tahun 2016 diumumkan, tiga pemimpin PH iaitu Dr Dzulkefly Ahmad dari AMANAH, Wong Chen (PKR) dan Teresa Kok dari DAP membuat kenyataan bersama bahawa kadar dividen 5.7% untuk tahun itu adalah sangat rendah kerana mereka mendakwa wang KWSP telah digunakan untuk menyelamat 1MDB dan KWSP berdepan dengan masalah kewangan.
Ya, kadar dividen 5.7 peratus untuk tahun 2016 menurun berbanding 6.4 peratus untuk tahun 2015 tetapi ini ialah kerana prestasi Bursa Malaysia tahun itu tidak berapa baik akibat krisis kejatuhan harga minyak pada tahun itu.
Tetapi bila prestasi Bursa Malaysia memulih dan bertambah baik pada tahun 2017 dan kadar dividen untuk tahun itu diumumkan ialah 6.9 peratus, pemimpin-pemimpin PH pula menuduh bahawa kadar dividen ini palsu dan hanya gula-gula untuk pilihanraya.
Tidak kira kadar dividen naik atau turun, PH tetap fitnah bagi menghasut rakyat.
Kebenaran tidak penting untuk mereka. Dan ramai terperdaya dengan fitnah mereka sehingga ada yang keluarkan semua duit dari KWSP.
PH sudah mengambil alih kerajaan dan KWSP selama 9 bulan tetapi tidak ada sebarang dakwaan mahupun bukti sebagaimana tuduhan mereka selama ini tentang wang KWSP dan tentang dividen - sekaligus membuktikan segala tomahan-tomahan PH terhadap KWSP selama ini adalah fitnah.
Wang KWSP memang wujud dan tetap dimiliki oleh setiap pencarum.
Sepanjang masa ketika saya adalah PM, kebanyakan projek-projek besar dianugerahkan kepada syarikat-syarikat di mana pemegang-pemegang saham utama adalah institusi seperti Khazanah, KWSP, Tabung Haji, PNB dan sebagainya.
Manfaat dari polisi ini, nilai dan pulangan kepada simpanan rakyat di dalam tabung-tabung ini naik dengan baik.
Kroni saya iaitu Rakyat yang dapat manfaat terbesar.
Kecuali tahun 2015 dan 2016 di mana harga minyak dunia menjunam dan mengakibatkan prestasi Bursa Malaysia tidak begitu baik; secara umumnya kadar dividen KWSP naik hampir setiap tahun sehingga memperoleh dividen 6.9 peratus di mana untuk tahun lalu ia adalah tertinggi bagi tempoh 20 tahun.
Dalam tempoh saya menjadi PM, jumlah aset KWSP iaitu kekayaan rakyat naik dengan pesat dari RM342 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM810 bilion pada akhir 2017.
Semasa itu, saya tidak banyak campur tangan di dalam pengurusan KWSP seperti PM yang satu lagi tetapi saya cuba mencari dan memberi peluang kepada mereka kerana saya faham jika KWSP untung, rakyat yang untung.
KWSP akan mengumumkan dividen untuk tahun 2018 pada bulan ini.
Agak berapakah kadarnya?
oleh : Najib Razak