4 Jamadilakhir 1440H, Sabtu– Pemimpin veteran parti rasis dan cauvinis DAP, Lim Kit Siang umpama cacing kepanasan apabila orang Melayu semakin membenci parti itu, selepas menyedari agendanya yang anti-Islam, kata Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At Takiri.
Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Kit Siang tidak dapat menerima versi Islam sebenar yang menekankan pelaksanaan syariat serta menegaskan politik adalah sebahagian daripada agama.
Sebaliknya, Kit Siang lebih mesra Islam Moderat sebagaimana dakwaannya iaitu satu pemikiran jelmaan pemikiran Islam ala Barat, kata Khairuddin.
“Sedangkan, ulama dan cendekiawan Islam menjelaskan dan orang Islam memahami bahawa Islam Moderat adalah versi Islam yang mendukung demokrasi total termasuk pluralisme dan hak asasi manusia secara mutlak; menolak konsep Negara Islam dan penguatkuasaan undang-undang syariah; mendukung idea kesamarataan gender; bersetuju bahawa Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi berbanding agama-agama lain; dan mempertahankan kebebasan untuk keluar meninggalkan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan mengenai kepemimpinan Islam dan kepentingan Islam berkuasa, sekali gus mengajak orang Islam mengundi calon beragama Islam yang baik, Khairuddin berkata, Kit Siang berterusan menyerang Presiden PAS.
Katanya, kebelakangan ini Kit Siang dilihat semakin galak menyerang Abdul Hadi gara-gara Presiden PAS menegaskan bahawa punca PAS memutuskan hubungan dengan DAP, adalah kerana parti itu memusuhi agenda Islam yang diperjuangkan PAS.
“Peliknya, penjelasan seperti itu dan secara terbuka, bukanlah kali pertama dibuat oleh Presiden PAS. Sudah dalam banyak siri ceramah dan penulisan beliau, Presiden PAS menyatakan perkara itu,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS membatalkan tahaluf dan taawun dengan DAP serta pihak lain apabila mereka menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepemimpinan Islam.
Katanya, tindakan sama diambil terhadap pemimpin dan ahli yang meninggalkan PAS kerana meletakkan perjuangan di atas konsep yang salah dan sesat dan tidak beristiqamah bersama Islam. - ismaweb