Suatu masa dulu, saya pernah mengunjungi The United States Air Force Academy (USAFA) di Colorado Springs, Amerika Syarikat (AS). Lawatan tersebut bertujuan mendalami nilai, struktur dan sistem latihan kadet di sana sebagai pedoman membangunkan sistem pendidikan dan latihan keperwiraan setanding di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Misi utama USAFA ialah mendidik, melatih dan memberikan inspirasi kepada pemuda dan pemudi terbaik AS agar menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan berilmu bagi memimpin angkatan udara AS.
Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah “The Honor Code Handbook” yang menjadi asas latihan dan pendidikan profesional USAFA. Mesej utamanya adalah: “We will not lie, steal or cheat, nor tolerate among us anyone who does. Furthermore, I resolve to do my duty and to live honorably, (so help me God)”.
Tiada kenyataan falsafah yang berjela-jela dan abstrak. Semuanya mudah difahami dan berkisar tentang pentingnya untuk setiap warga USAFA tidak berbohong, tidak mencuri dan tidak menipu. Pada waktu yang sama, mereka tidak akan sesekali bertoleransi dengan mereka yang berperlakuan sedemikian. Mudahnya, kami tidak akan berkelakuan tidak elok dan tidak akan melepaskan mereka yang berkelakuan tidak elok.
Turut diceritakan kepada saya oleh Komandan USAFA tentang kes seorang kadet ditamatkan latihannya hanya kerana dia membuka almari rakan sebiliknya dan mengambil sebotol Coca-Cola tanpa izin. Kadet tersebut dituduh mencuri dan akhirnya terpaksa disingkirkan dari USAFA. Tegas. Sangat tegas.
Kerana bagi mereka, jelas dan nyata mempunyai integriti itu maksudnya tidak berbohong, tidak mencuri dan tidak menipu. Biar sekecil mana pun. Maka sesiapa yang tidak boleh memenuhi standard ini, maka terlucutlah kelayakannya untuk memimpin dalam organisasi apa sekalipun.
Apabila saya membaca bagaimana ahli politik tidak berkata benar tentang kelayakan akademiknya, pada saya integriti dan wibawanya punah. Beliau bukan sahaja melanggar sumpah jawatannya sebagai sebahagian dari jemaah menteri, tetapi beliau hilang kelayakan moral untuk menjadi anggota pentadbiran kerajaan.
Kalau di negara maju, atau wilayah di mana integriti menjadi pegangan masyarakatnya, tanpa desakan dari mana-mana pihak, hanya satu pilihan sahaja yang tinggal. Iaitu meletak jawatan secara sukarela. Ini pilihan paling terhormat yang akan diambil untuk menyelamatkan maruah dan air muka yang masih tersisa.
Tetapi di Malaysia baru ini, sang pemimpin, biarpun sudah terbongkar penipuan dan ketidakjujurannya, bukan sahaja memberikan pelbagai alasan demi alasan yang berbelit. Lebih malang untuk kita, beliau terus menerus mendapat pembelaan beberapa pimpinan partinya. Malah, pembelaan demi pembelaan ini bukan sahaja melanggar pelbagai ikrar parti, tetapi seakan membuka ruang untuk massa mempersoalkan kewarasan mereka.
Benar, isunya bukan setinggi mana tahap akademik yang melayakkan seseorang ahli politik itu berjaya. John Major, perdana menteri Britain selepas Lady Margeret Thatcher juga tidak mempunyai kelayakan universiti, tetapi diangkat menjadi perdana menteri. Tetapi atas dasar apa? Kepimpinan dan kewibawaan. Keberanian memberitahu kedudukan sebenar dirinya.
Yang kita persoalkan ialah kegagalan berkata benar dan ketergamakan memberikan representasi yang tidak betul. Ini isu kejujuran, kebenaran dan moral, bukan isu kelayakan dan kemahiran. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti memaparkan pembaharuan yang serius dalam semua aspek pentadbiran, dasar dan perjalanan negara ini. Maka standard integriti pemimpinnya tidak boleh sama sekali dikompromikan.
Hanya mereka yang mempunyai tahap integriti yang paling tinggi sahaja yang mesti diangkat menjadi pemimpin Malaysia baru. Standard integriti bukannya tentang jenis dan tahap perlakuan. Kecil atau besar, perlanggaran moral adalah perlanggaran moral. Sekali atau selalu, pembohongan adalah pembohongan. Banyak atau sedikit, penipuan adalah penipuan.
Integriti tidak akan hadir hanya dengan retorik, ucapan dan dokumen. Masyarakat yang berintegriti tidak muncul kerana adanya mata pelajaran integriti di sekolah-sekolah. Integriti tidak hadir dengan terlancarnya pelan anti rasuah nasional. Atau kerana tertubuhnya institusi dan pelbagai jawatankuasa tindakan memperkukuh integriti.
Ia hanya akan terjelma jika ia dipamerkan melalui perlakuan yang boleh diteladani dari pemimpin yang kita angkat dan kita pilih. Mereka adalah sebaik-baik contoh dan sebaik-baik teladan, selagi mereka benar dan tidak berdusta.
Kepada sang pemimpin berkenaan dan yang lain juga, ingatlah teladan dari sejarah Islam. Pada suatu hari, Umar Al-Khattab, salah seorang sahabat Rasulullah paling terkemuka, bertemu dengan seorang penggembala kambing.
Umar menguji sang penggembala. “Bolehkan aku membeli seekor kambing yang engkau jaga ini? Sang penggembala menjawab, “kambing-kambing ini milik majikanku.” Umar bertanya, “Banyak sekali kambing yang engkau gembalai. Kalau 1 saja aku beli, nescaya majikanmu tidak akan mengetahuinya. Kalaupun majikanmu mengetahui kambingnya kurang 1, katakan saja dimakan serigala.”
Sang penggembala merenung wajah Umar dan berkata: “Sekalipun majikanku tidak mengetahui, sesungguhnya Allah mengetahuinya.” Berkaca mata Umar dengan linangan air mata, lalu dipeluknya si penggembala itu dan berkata. Engkaulah sebaik-baik teladan.
Semoga sang pemimpin kita sentiasa melakukan perkara yang benar dan malu dengan perlakuan yang jelik dan dusta. Integriti adalah etika yang mahal harganya. Ia tidak hadir dalam diri mereka yang memandang murah jawatan dan kedudukan. Kepada pemimpin Malaysia baru, semoga kamu menjadi teladan yang baik kepada bangsa dan negara yang sangat dahagakan kebaikan yang sebenar-benarnya.
Abdul Razak Ahmad adalah pengarah-pengasas Bait Al Amanah.