STRASBOURG (PERANCIS), 17 Safar 1440H, Jumaat – Mencemarkan nama baik Nabi Muhammad melebihi batas kebebasan berucap yang dibenarkan, kata Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECtHR).
Keputusan itu dibuat setelah mendapati seorang wanita Austria dituduh atas kesalahan jenayah dan didenda kerana mengeluarkan kenyataan yang menuduh Nabi Muhammad seorang pedofilia.
ECtHR dalam satu kenyatan yang dikeluarkan berkata, tujuh panel hakim menjunjung tinggi keputusan mahkamah Austria yang mensabitkan wanita itu dengan kesalahan menghina doktrin agama pada 2011 dan menjatuhkan denda 480 euro.
Wanita itu yang hanya dikenali sebagai E.S oleh mahkamah, mengadakan seminar mengenai Islam pada 2008 dan 2009 bagi parti berhaluan kanan Freedom Party (FPO) di mana dia membincangkan mengenai perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aishah, yang ketika itu masih kanak-kanak, dan membayangkan Rasulullah seorang pedofilia.
Menyatakan bahawa mahkamah mendapati bahawa pernyataan itu mungkin membangkitkan kemarahan di kalangan umat Islam dan membabitkan peraturan umum, tanpa berdasarkan kepada fakta, ECtHR berkata, kenyataan wanita itu tidak meliputi kebebasan berucap.
ECtHR berkata, tujuh panel hakim mendapati mahkamah domestik telah menilai dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh pernyataan wanita itu dan berhati-hati mengimbangi haknya untuk bebas bersuara dengan hak orang lain untuk memiliki perasaan melindungi dan memelihara keamanan agama mereka di Austria.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa tidak ada pelanggaran terhadap Fasal 10 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah yang meliputi kebebasan bersuara.
Mahkamah Austria sebelum ini turut memutuskan ada perbezaan antara pedofilia dan perkahwinan kanak-kanak yang juga menjadi amalan biasa dalam sejarah komuniti di Eropah.
ECtHR juga menegaskan mereka mengklasifikasikan kenyataan mencemarkan itu sebagai ‘serangan kasar’ terhadap Nabi Muhammad, yang boleh mencetuskan prasangka serta meletakkan keamanan agama dalam risiko.
ECtHR juga menyatakan bahawa mahkamah Austria telah berpendapat bahawa E.S membuat sebahagian penilaiannya berdasarkan fakta yang tidak benar dan tanpa mengambil kira konteks sejarah.
Dalam menerima bahawa kepercayaan terhadap agama tertakluk kepada kritikan dan bantahan, ECtHR bagaimanapun menegaskan, apabila kenyataan terhadap agama melampaui penafian kritikal dan dilihat menghasut toleransi beragama, negara boleh mengambil tindakan menghalangnya
Austria, negara yang dihuni 8.8 juta penduduk, secara kasarnya mempunyai 600,000 umat Islam. Akhir-akhir ini, Austria muncul sebagai pemimpin Islamofobia di kalangan negara-negara Eropah.
April lalu, kerajaan campuran – gabungan konservatif dan parti berhaluan kanan – dipimpin Canselor Sebastian Kurz mengancam untuk menutup masjid terbesar di Vienna. – Agensi