Get $25 free
loading...

wang yang dihulurkan bukan wang bapa Guan Eng


20 Safar 1440H, Isnin –Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini mengingatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk tidak menggunakan perkataan ‘saya’ ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan sesuatu keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan terbaharu Guan Eng yang memaklumkan akan membantu Kelantan pimpinan PAS, walaupun dilabel tidak bermoral oleh presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, wang yang dihulurkan bukan wang bapa Guan Eng, tetapi wang kerajaan iaitu wang rakyat.
“Siapa Lim Guan Eng untuk menggunakan perkataan ‘saya’. Itu semua atas bantuan kerajaan Malaysia. Jadi, beliau tidak ada hak untuk menggunakan perkataan ‘saya’.
“Pada masa sama, saya amat yakin, keputusan membantu kerajaan Kelantan, bukan keputusan Menteri Kewangan, tetapi keputusan Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Difahamkan, kenyataan Guan Eng membantu Kelantan adalah berkaitan kritikan yang dihadapinya kerana mendedahkan surat daripada Kelantan yang memohon pendahuluan daripada Putrajaya untuk membayar gaji penjawat awamnya.
Ia berlaku selepas Guan Eng mendakwa negeri Pantai Timur itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pegawai awamnya.
Mengulas lanjut Ridhuan Tee berkata, beliau bukan menyebelahi PAS, tetapi memahami semangat sistem Persekutuan (federalisme) iaitu hubungan antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri, di mana Pusatmempunyai tanggungjawab ke atas negeri.
“Begitu juga kerajaan negeri berhak mendapatkan haknya daripada Pusat. Lebih-lebih lagi jika ada negeri tertentu yang kaya dengan gas asli. Jika tidak, buat apa duduk dalam Persekutuan. Minta sahaja lebih autonomi seperti yang dilakukan oleh Sabah dan Sarawak. Peliknya, kenapa tidak dipersoalkan desakan ultra kiasu yang mahu Sarawak keluar daripada Malaysia.
“Jadi, pada saya mendedahkan surat-menyurat yang jatuh dalam kategori sulit adalah tidak wajar. Tidak mengapalah Guan Eng, orang kata dedah pun salah, tak dedah pun salah. Janji Allah tahu Guan Eng adalah orang baik dan mempunyai integriti. Ingin juga saya bertanya, Guan Eng buat kerja ini untuk Tuhan atau untuk orang kata?,” soalnya. - ismaweb
Previous
Next Post »
loading...