Get $25 free
loading...

To'Pa Masuk PPBM, Ada Menteri Kena KELUAR? Kabinet di ROMBAK?

Meskipun ada enam Ahli Parlimen UMNO yang sudah meninggalkan parti itu, setakat ini hanya Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed yang memilih untuk menyertai Bersatu.

Mustapa mengumumkan kemasukannya ke dalam Bersatu malam tadi di hadapan barisan kepimpinan tertinggi parti itu, termasuk Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Empat lagi Ahli Parlimen yang keluar UMNO sehingga ini masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas, sementara Rosman Isli, Ahli Parlimen Labuan memilih untuk menyertai Warisan.

Dengan kemasukan Mustapha atau Tok Pa menyertai Bersatu semalam, sekurang-kurangnya dua perkembangan lain akan menyusul selepas ini:-
Pertama, akan berlaku rombakan atau pertambahan anggota kabinet dalam waktu terdekat ini kerana kemasukan Tok Pa ke dalam Bersatu pasti disusuli dengan perlantikannya sebagai menteri.

Ia bagi mengimbangi kedudukan anggota jemaah menteri yang secara majoritinya ketika ini terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman langsung dalam pentadbiran kerajaan.

Lebih-lebih lagi, menteri daripada Bersatu khususnya, paling menjadi pertikaian umum dari segi kewibawaan, tingkah laku dan ketika memberi kenyataan kepada media sehingga mereka dianggap tidak cukup berwibawa untuk menjadi menteri.

Dengan hadirnya Tok Pa yang dikenali sebagai menteri yang baik, berwibawa dan bagus kabinet nanti, bukan saja pentadbiran kerajaan akan bertambah kukuh, malah dapat mengimbangi kekurangan yang ada pada menteri-menteri daripada Bersatu ketika ini.

Melalui kemasukan Tok Pa juga, kemungkinan ada menteri daripada  Bersatu akan dipindahkan ke kementerian lain, bahkan tidak mustahil jika ada yang digugurkan terus.

Kedua, kemasukan Tok Pa ke dalam Bersatu dengan sendirinya akan mendorong lebih ramai pemimpin UMNO untuk mengikut jejak langkah beliau meninggalkan parti itu dan memilih wadah baru yang diterajui oleh Tun Mahathir.

Sehingga ini sekurang-kurangnya ada dua kumpulan pemimpin UMNO yang menunjukkan minat yang tinggi untuk menyertai Bersatu.

Satu kumpulan diketuai oleh seorang bekas menteri yang masih merupakan Ahli Parlimen yang bertapak di selatan tanahair, manakala satu kumpulan lagi adalah daripada utara semenanjung.

Kumpulan daripada selatan dikatakan akan membawa  sekurang-kurangnya 35 pemimpin UMNO untuk menyertai Bersatu yang terdiri daripada Ahli Parlimen, Adun, Ketua Bahagian dan pemegang-pemegang jawatan kanan yang lain.

Pada bulan lalu, kumpulan ini telah bermesyuarat di Jakarta dan antara  yang dipersetujui ialah mereka mahu menunggu apa akan berlaku kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang langkah yang seterusnya.

Realitinya, Zahid Hamidi kini sudah pun didakwa dengan 45 pertuduhan di mahkamah dan beserta dengan kemasukan Tok Pa ke dalam Bersatu, kumpulan dari selatan ini dipercayai akan lebih cepat lagi meninggalkan UMNO.

Sementara itu, kumpulan dari utara yang berminat untuk menyertai Bersatu juga sedang rancak mengadakan pelbagai pertemuan untuk memperkemaskan rancangan mereka.

Kumpulan daripada utara ini, meskipun lebih kecil daripada kumpulan yang berasal daripada selatan tadi, tetapi mereka agak agresif dan vokal dalam pergerakan politiknya.

Apakah dengan dua perkembangan yang bakal berlaku itu, UMNO sedikit demi sedikit akan layu dan akhirnya semakin ditinggalkan, ditambah lagi dengan kedegilan Zahid Hamidi yang nampaknya enggan bercuti sementara atau meletakkan jawatan di sebalik  kes pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram yang sedang dihadapinya? (ShahbudinHusin 27/10/2018)
Previous
Next Post »
loading...