Get $25 free
loading...

[MENTERI MASIH MENTALITI PEMBANGKANG] Ada menteri mahu ‘londeh’ Kelantan


DALAM tempoh lima bulan sudah cukup menteri belajar, namun mereka dilihat masih lagi berbaur pembangkang. Itu luahan bekas veteran Umno, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Katanya lagi dalam isu pendidikan bukan isu kasut hitam atau stokin. Sebaliknya ujar beliau membina syaksiah (character building).
Inilah situasi malang yang masih dibiarkan berlaku. Pengharapan tinggi rakyat, menteri lulusan agama mempunyai jalur pemikiran lebih Islamik.
Pengharapan rakyat pernah didambakan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah juga lulusan pengajian Islam. Gambar Pak Lah menjadi imam menghiasi laman-laman utama akhbar. Rakyat kata ini kalilah. Akhirnya BN menang besar PRU 2004.
Menteri sekarang bukan sekadar lulusan universiti tempatan, sebaliknya ada yang merantau menimba ilmu di bumi ambia, Mesir dan Jordan. Malangnya kerangka fikir sekadar tukar kasut hitam dan stokin.
Lebih mendebarkan apabila ada menteri enggan mengaitkan isu yang berlaku di Palu, Sulawesi dengan bala LGBT. Ujar menteri terbabit, kita mudah menghukum.
Maka tidak hairanlah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau terpaksa disesuaikan dengan pemikiran mereka.
“Mereka mempunyai idea berlainan, ada yang mirip kepada sosialisme, ada yang mirip leberalisme, jadi kena ambil kira semua,” ujarnya pada Bicara Minda di Karangkraf.
Enam bulan di era Malaysia Baharu belum memperlihatkan suasana yang menjadi impian rakyat. Mungkin rakyat boleh menarik nafas setelah GST disifarkan.
Namun ia hanya muncul seketika. Bayaran bulanan broadband Maxis ketika era GST melonjak kepada RM72 berbanding RM68 sebelum April 2015.
Namun sekarang di era SST meningkat pula kepada RM71.
Ini fakta yang berlaku bukan lagi sekadar persepsi. Fakta seperti inilah yang dihasratkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ketika bertegang leher di parlimen Isnin lepas beliau menempelak Kelantan tidak mampu membayar gaji.
Ceritera itu bermula apabila anggota parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan menyebut andai kata Kelantan dan Terengganu mengambil alih projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Respon segera Guan Eng, “saya fikir macam mana Kelantan mampu buat sedangkan gaji anggota perkhidmatan awam pun tidak mampu bayar”.
Sindiran tajam Menteri Kewangan itu membuatkan Dewan Rakyat gamat seketika. Takiyuddin dan anggota parlimen BN Machang, Dato’ Jazlan Yacob bangkit menuntut bukti.
Sketsa terbabit tidak terhenti di situ. Pembangkang dari pelbagai penjuru tampil mendesak Menteri Kewangan menarik balik tohmahan itu.
Isu tersebut tambah hangat lagi. Anggota parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari muncul dengan statistik menjelaskan semua kerajaan negeri menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan.
Pada 2016 Selangor menerima peruntukan RM761.8 juta, jauh lebih tinggi berbanding Kelantan (RM397.9 juta).
Guan Eng enggan mengalah. Kapasitinya sebagai menteri dimanfaat. Lalu diselongkar lagi bagi membelek kelemahan Kelantan.
Lalu ditemui surat ditulis bekas Pegawai Kewangan Kelantan Dato’ Nik Kazim Nik Yusoff.
Menurutnya surat Nik Kazim menyatakan kerajaan Kelantan terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan serta bil semasa.
Surat itu bertarikh 18 Jun 2018 menyebut Kelantan perlu pendahuluan dana sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punca baru sumber hasil.
Pendokong Pakatan Harapan girang semula. Impian melondeh Kelantan diteruskan.
Rupa-rupa di sebalik surat permohonan itu kerajaan negeri menyandarkan kepada bayaran premium dan cukai kerajaan persekutuan terhadap Kelantan.
Bayaran yang sepatut diterima berjumlah RM275 juta. Ia melibatkan premium Institut Pendidikan Guru, premium tanah Felda dan baki cukai tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Lagi pun permohonan diajukan Kelantan merupakan amalan biasa dalam sistem persekutuan.
Kata Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Pendahuluan Boleh Dituntut diberi kerajaan persekutuan bagi menampung keperluan aliran tunai negeri-negeri yang memerlukan.
Berdasar kepada kronologi itu tidak salah seperti disebut Dr Rais, kenyataan menteri masih lagi berbaur pembangkang. – HARAKAHDAILY 24/10/2018
hutang negeri2 jadual
Previous
Next Post »
loading...