Get $25 free
loading...

Alahai malang sungguh politik cara Melayu, jaga hati kawan


MUNGKIN ada yang mengutuk saya kerana sering kali menulis mengenai kebobrokan ultra kiasu. Pertanyaan standard mereka, sudah tidak ada jalankah untuk berdakwah kepada mereka? Terlalu mudahkah berputus asa? Sedangkan Baginda Rasulullah tidak pernah berputus asa, malah terus berdakwah tanpa henti kepada musuh-musuh Islam?
Jawapan saya, sekian lama mengenali ultra kiasu, cukuplah… Saya serahkan rakan-rakan ultra kiasu yang lain untuk berdakwah kepada mereka. PAS sudah sekian lama mencuba, tetapi masih ‘gagal’, malah semakin ultra kiasu tegar menentang sebarang percubaan untuk melaksanakan hukum Islam seperti Akta 355. Itu bukan bermakna PAS ‘gagal’ tetapi Allah mahu menunjukkan belang mereka sebenar.
“(Sesudah kamu wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?” (Al-Baqarah ayat 75)
Kini, PAN mengambilalih tanggungjawab. Saya doakan semoga PAN berjaya. Jika tidak masuk Islam pun, sekurang-kurangnya ultra kiasu lembut terhadap Islam. Mungkin kerana dakwah PAN itulah yang menyebabkan pemimpin ultra kiasu berhenti berucap, ketika bergema suara azan, seperti yang diviralkan baru-baru ini. Tahniah! Saya ucapkan. Saya harap ia ikhlas.
Apapun tindakan berhenti ketika azan berkumandang telah membuatkan hati Melayu menjadi ‘cair’. Inilah sifat Melayu yang saya puji. Mudah cair. Mudah lupa. Terpedaya. Dahulu, Melayu turut terpesona dengan urus tadbir ultra kiasu yang konon mengikut cara Khalifah Umar A Aziz. Setelah hati Melayu cair, urus tadbir Khalifah Umar entah ke mana. Hilang, senyap, sunyi dan sepi. Yang muncul adalah pesta arak dan October Fest.
Saya gariskan di sini 11 perkara sebagai panduan agar kita tidak mudah terpedaya.
Pertama, ultra kiasu mahu memerintah Malaysia suatu masa nanti. Strategi demi strategi disusun untuk mencairkan dan memenangi hati Melayu. Caranya, dengan giat berkempen mencari seramai mana yang boleh untuk orang Melayu menyertai parti mereka bagi membuktikan mereka tidak perkauman. Benarkah?
Kedua, suara mereka seperti suara keramat. Lantang, berbisa dan menikam. Hari ini sahaja kita lihat, walaupun ultra kiasu tidak memegang tampok pemimpin tertinggi negara, tetapi suara-suara mereka menampakkan bahawa merekalah yang memerintah. Banyak jawatan strategik telah terlepas kepada mereka dengan tidak perlu saya namakan.
Ketiga, mereka tidak akan mencari Melayu yang faham agama, warak dan baik akhlaknya kerana mereka tahu implikasinya dengan merujuk kepada sejarah yang ditinggalkan PAS. Maka, mereka akan pilih Melayu liberal yang selalu mengkritik dasar kerajaan, terutama yang berkaitan dengan Islam dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.
Keempat, ultra kiasu akan memastikan Melayu menerima konsep Malaysian Malaysia, Malaysia untuk rakyat Malaysia, sama rata sama rasa. Melayu seperti ini yang dilantik memegang beberapa jawatan bagi membuktikan kepada rakyat ultra kiasu bukan parti perkauman.
Kelima, antara jawatan yang digula-gulakan setakat ini adalah setiausaha politik, pegawai penerangan, senator dan sebagainya. Mereka ini akan bertindak lebih ultra kiasu daripada ultra kiasu.
Keenam, setelah yakin ultra Melayu ini akan benar-benar setia kepada ultra kiasu dan boleh dipergunakan, mereka akan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Apabila sudah menjadi wakil mereka akan menjadi lebih Cina daripada Cina seperti mana mereka menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu
Ketujuh, apabila ultra kiasu ini menang pilihan raya dan mendapat kerusi yang banyak, mereka akan gunakan peluang keemasan ini untuk terus mencairkan hati Melayu bagi membolehkan mereka memerintah. Antara lakonan terbaik mereka berhenti berucap ketika azan seperti yang diviralkan baru-baru ini. Sedangkan kita semua tahu, orang bukan Islam berhenti berucap ketika azan, bukan suatu perkara baharu. Perdana Menteri India, Modi pun berhentikan berucap ketika azan dilaungkan, tetapi Modi ini jugalah yang paling agresif membunuh, menganiaya dan menzalimi umat Islam di India.
Kelapan dan terbaharu, ultra kiasu melantik seorang peguam liberal menjadi setiausaha politiknya. Melayu tidak sedar ini sudah tentu akan berkata, peluang keemasan ini amat berguna untuk belajar ilmu politik daripada ultra kiasu. Sekadar mahu belajar ilmu politik, ramai lagi bekas menteri yang tidak ada kerja hari ini boleh dijadikan mentor. Tidak perlu tunggu ultra kiasu lantik.
Muslihat ultra kiasu perlu dibaca, sudah pasti setiausaha politik ini akan memberikan nasihat yang paling berguna terutama dalam melangsaikan Malaysian Malaysia yang dicita-citakan sekian lama. ‘Fair and square’. Peguam ini jugalah yang akan mempertikaikan kedudukan Islam (Perkara 3(1) hingga Perkara 12, hak istimewa Melayu dan Bumiputera (Perkara 153) serta Akta 174, yang berkaitan dengan UiTM dan institusi pendidikan Melayu Bumiputera.
Kesembilan, ketika kontroversi perlantikan Menteri Pendidikan, ultra kiasu yang paling cepat bersuara secara positif, tatkala Melayu liberal yang lain menentang. Ultra kiasu berkata, berilah kepada Dr Maszlee Malik peluang. Berita ini mendapat liputan meluas dan dijadikan hujah betapa baiknya ultra kiasu seperti Malaikat. Cair habis hati Melayu. Alahai, Melayu mudah lupa kebobrokan ultra kiasu sebelum ini yang berkata ‘langkah mayat aku jika mahu laksanakan undang-undang Islam’.
Kesepuluh, begitu juga ketika hari pertama, ultra kiasu masuk ke pejabat, sudah menjadi adat budaya Melayu akan menunggu di lobi, menteri baharu masuk kerja. Serta-merta ultra kiasu membuat siar raya. Tidak perlu sambut beliau. Pergi buat kerja untuk rakyat. Malu tidak terkira pegawai kerajaan yang menunggu. Viral sekali lagi, hati Melayu menjadi cair. Baik sungguh ultra kiasu kata hati mereka.
Kesebelas, apabila semua ini berlaku, kita pun terpedaya. Maka, semua dalam kalangan kita pakat-pakat berkata, lebih menerima pemimpin bukan Islam yang tidak rasuah daripada memilih pemimpin Islam yang korup dan rasuah. Perbandingan standard antara positif dengan negatif bagi memperlihatkan betapa hebatnya ultra kiasu.
Mereka tidak membuat perbandingan antara epal dengan epal. Tetapi dibanding epal dengan buah ketum. Antara Lim Guan Eng dengan Isa Samad. Saya pun akan pilih LGE. Cuba bandingkan antara LGE dengan Tok Pa atau bapa LGE dengan Tun M. Pasti saya pilih Tun M.
Kecualikan perbandingan itu dibuat di negara China, sudah tentu nama-nama orang Islam tidak menjadi pilihan kerana komunis tidak akan menerima. Lihatlah nasib umat Islam Uighur, saban hari dikasari, dianiayai dan dizalimi, ada yang dipaksa makan babi serta tidak ketinggalan dibunuh.
Ingatan saya kepada semua, apabila perbandingan sebegini dibuat, lihatlah sejarah kenegaraan ini dahulu yang berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Sebaik mana pun ultra kiasu untuk menjadi Perdana Menteri misalnya, berbanding Melayu, saya tetap memilih Melayu meskipun tidak ‘sebaik’ ultra kiasu.
Kenapa negara ini ada sejarahnya. Sejarah ini perlu dihormati sama seperti sejarah Korea, China, Jepun dan sebagainya. Kerajaan Komunis China begitu zalim bertindak kepada umat Islam di China. Kenapa perbandingan tidak dibuat antara kerajaan komunis yang zalim dengan orang Cina Islam yang baik di China. Kita yang memahami sejarah, tidak akan tergamak melakukan kerana setiap negara ada asal usulnya.
Terbaharu, penghinaan mereka terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan raja-raja Melayu orang Melayu. Begitu berani sekali melalui berita angin belum lagi sahihnya. Mereka merespon kenapa duit cukai pendapatan mereka perlu dibazirkan sedemikian rupa.
Apakah ultra kiasu sengaja memejamkan mata bahawa pembayar cukai yang paling tinggi datangnya daripada GLC kerajaan bukan ultra kiasu. Kenapa ultra kiasu ini begitu berani mengatakan duit cukai merekalah yang paling banyak digunakan? Sama-sama kita fikirkan.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi CG
Previous
Next Post »
loading...