KUALA LUMPUR - Persatuan teksi tidak teragak-agak untuk 'menunjukkan taring' mereka sekiranya menteri yang bertanggungjawab terus mengabaikan mereka.
Timbalan Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia, S Manoharan berkata, tindakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang dilihat tidak berperanan dalam menyelesaikan isu yang membelenggu pemandu teksi menjadikan nasib mereka makin parah.
Jelasnya, dakwaan Loke Siew Fook yang acap kali menganggap isu teksi hanya membabitkan segelintir pemandu adalah salah sama sekali.
"Dia kata segelintir sahaja dia cubalah... Boleh jadi protes seluruh negeri sebab dia selalu kata segelintir apa ini, menteri mahu buli pemandu teksi ke, kalau nak tengok kekuatan pemandu teksi sekali lagi cabar kata segelintir kita akan bertindak saya tidak mahu lagi dengar kata segelintir," katanya selepas bertemu dengan wakil Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kuala Lumpur Sentral, di sini hari ini.
Justeru katanya, diharap kerajaan dengar masalah yang mereka alami apatah lagi mereka kini hampir hilang sumber pendapatan.
Katanya, mereka mengharapkan agar isu e-hailing dan Grab Car diselesaikan segera bagi memastikan industri teksi terus relevan. - SH