PORT DICKSON: PAS memberi isyarat jelas kepada para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Parlimen Port Dickson untuk membuat pilihan bijak dengan tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober nanti.
Menjelaskan perkara tersebut, Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan berkata Anwar sebenarnya hilang kelayakan untuk bertanding berdasarkan peruntukan 48 Fasal 1(e).
Artikel tersebut menerangkan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.
"Isunya sekarang ini, Anwar tidak diberi free pardon tetapi hanya dibenarkan dan diberikan pembebasan serta merta kepada beliau berkuatkuasa 16 Mei 2018 setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduk Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad kelima atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Jelas di sini apa yang disebut dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 16 Mei 2018 adalah pengampunan penuh oleh kuasa Yang di-Pertuan Agong iaitu pengampunan untuk tidak meneruskan hukuman penjara tapi tidak diberikan free pardon," katanya pada sidang media PRK Port Dickson di sini. – HARAKAHDAILY 3/10/2018