Amalan memberi wang kepada wartawan yang hadir dalam sidang media haruslah dihapuskan sepenuhnya untuk melahirkan media benar-benar bebas dan neutral.
Kami dari Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam budaya "envelope journalism" kerana ia jelas merupakan cubaan menyogok pihak media yang sememangnya bertugas membuat liputan.
Individu, kumpulan, pihak dan mana-mana organisasi yang melakukan demikian seharusnya sedar perbuatan sedemikian boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah serta sogokan.
Ia juga tidak menepati dan membantu media negara ini daripada benar-benar bebas dan membuat laporan tepat, benar, objektif dan tidak berbelah bagi.
Walaupun budaya ini sudah bertapak lama, Geramm menyeru semua pihak terutamanya para wartawan dan pekerja media sendiri untuk mengikut kepada etika yang telahpun didedahkan sama ada menerusi pelajaran, kontrak ataupun termaktub dalam kod etika kewartawanan masing-masing.
Ini kerana budaya menerima 'habuan' seperti ini dapat mencemarkan integriti serta menghakis kredibiliti institusi media itu sendiri.
Sebarang cubaan daripada sebarang pihak untuk memberi 'habuan' sewajibnya ditolak dan seharusnya dilaporkan dengan kuasa Pena yang ada di tangan masing-masing.
Kita harus sedar tiada nilai wang yang seharusnya dapat 'membayar' harga kebebasan menghasilkan laporan yang tepat dan seimbang.
Geramm
Kerajaan 'SUCI' |