Pembahas Pemuda Umno Selangor Jefrizal Mohd Jaafar berkata PKR dikawal DAP melalui Dewan Negeri Selangor, yang dipengerusikan Speaker Hannah Yeoh dari DAP.
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Selangor menyifatkan kerajaan negeri yang diperintah PKR perlahan-lahan hilang kuasa kerana terlalu ikut telunjuk DAP, kata pembahas Jefrizal Mohd Jaafar.
Beliau berkata PKR dikawal DAP melalui Dewan Negeri Selangor (DNS), yang dipengerusikan oleh Speaker Hannah Yeoh dari DAP.
“Bayangkan DAP seakan-akan mengawal DNS. Memang betullah menteri besar (Datuk Seri Mohamad Azmin Ali) dari PKR tetapi lihatlah siapa speaker DNS dan bagaimana DAP mengawal kaum Melayu dan agama Islam?
“Jika inilah cerminannya tuan-tuan, kita sudah dapat bayangkan apa yang akan berlaku pada PRU14 seandainya ditakdirkan kita hilang lagi kuasa,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar ketua Pemuda Umno di Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
PKR membentuk kerajaan negeri bersama-sama DAP, PAS dan Amanah. Komposisi parti di DNS ialah 14 wakil rakyat DAP, 13 wakil rakyat PKR, 2 wakil rakyat Amanah dan 13 wakil rakyat PAS.
Timbalan speaker adalah Mohd Shafie Ngah daripada PAS.
Jefrizal berkata “bukti” PKR mengikut telunjuk DAP apabila Speaker Hannah Yeoh menolak usul memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dibawa Adun Barisan Nasional (BN) di sidang DNS 8 November lalu.
Beliau juga berkata Hannah turut menolak usul membahaskan isu Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa menghina keturunan Bugis, yang mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Adakah ini kualiti pentadbiran kerajaan negeri yang mukanya Melayu tetapi didalangi muka DAP?,” kata Jefrizal yang juga ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat.
Dalam ucapannya, Jefrizal turut mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor menukar peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Katanya, harga rumah dan hartanah di Selangor semakin meningkat naik akibat golongan pemaju yang terlalu mengejar keuntungan.
Sehubungan itu beliau menggesa BN memenangi semula Selangor selepas tewas dalam 2 pilihan raya lepas, agar kuasa sebenar PKNS dapat dikembalikan.
“PKNS kini tidak berfungsi mengikut yang sepatutnya. Jika kita dapat merampas kembali kuasa yang ada pulangkan kembali peranan dan fungsi PKNS. Selagi ini tidak dibuat selagi itulah harga pasaran perumahan akan terumbang-ambing.
“PKNS adalah satu badan yang mampu menyekat pemaju yang menjadi ‘lintah darah’ menaikkan harga rumah sesuka hati mereka.
“Bagaimana PKNS ditubuhkan untuk menstabilkan kehendak rakyat, bukan sahaja berkenaan tempat tinggal tetapi keseimbangan dalam aspek pembangunan, hartanah, perdagangan, perindustrian dan pelaburan,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini