Get $25 free
loading...

Adik Shahidan Kassim sertai PKR, kempunan jadi MB Perlis


Adun Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim memutuskan untuk menyertai PKR, selepas hasratnya menyertai PPBM tidak kesampaian setelah meninggalkan Umno dan Barisan Nasional.

Ismail yang juga adik Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan menyertai PKR itu dibuat selepas tertarik dengan cara parti berkenaan diurus tadbir.

“Saya lihat PPBM Perlis terdapat unsur yang ada dalam parti lama saya, jadi sebab itu saya tidak berminat. Jika saya mahu seperti itu lebih baik sertai Umno, bahkan saya ada jawatan.

“Saya bukan rasmi lagi menjadi ahli PKR, baru sahaja mengisi borang selepas diajak setiausaha Pakatan Harapan Kedah yang minta saya masuk PKR,” katanya kepada FMT.

Difahamkan, Ismail memutuskan untuk menyertai PKR Kedah di Pokok Sena, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas daripada pucuk pimpinan PKR negeri itu dan pusat.
Ismail berkata, tujuannya memohon menjadi ahli PKR di Kedah adalah kerana tidak melihat banyak saingan dan ancaman kepada mana-mana pihak dalam parti berkenaan di negeri itu.

“Saya masuk di Kedah kerana tidak ada saingan pada sesiapa, tidak ada yang merasakan kemasukan saya ini suatu ancaman atau boleh menyekat peluang mereka meningkat,” katanya.

Antara sebab lain yang menyebabkan Ismail tertarik kepada PKR ialah gabungan kepimpinan lama dan baru dalam parti itu mengamalkan konsep musyawarah.

“Pertamanya gabungan antara orang berpengalaman, orang lama dan orang baru, seronok saya lihat mereka bekerja. Kedua, gabungan pemimpin lama dan baru ini bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Selain itu katanya, beliau sendiri tidak asing kepada pucuk pimpinan PKR Kedah memandangkan pemimpin seperti Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul adalah rakan lamanya.
Previous
Next Post »
loading...