Get $25 free
loading...

Adik Shahidan rayu Raja Perlis pertimbang 8 adun BN jadi MB

Ismail Kassim meminta Raja Perlis melantik MB daripada kalangan 8 adun BN, selain dirinya dan Azlan Man kerana tidak mahu didakwa gila kuasa.

Ismail Kassim (baju putih) mendakwa Azlan Man tidak boleh menerima teguran orang lain.

KUALA LUMPUR: Datuk Ismail Kassim yang tidak terpilih sebagai menteri besar Perlis merayu Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mempertimbangkan 8 adun Barisan Nasional (BN) lain, kecuali Datuk Seri Azlan Man untuk memimpin negeri itu.

Adun Tambun Tulang itu yang juga adik kepada Pengerusi BN dan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, cadangan itu bertujuan mengelakkan dirinya didakwa gila kuasa.

“Kita merayu sekali lagi Tuanku untuk memberi pertimbangan terakhir kepada kami semua demi Perlis yang kita sayang. Bukan Ismail Kassim, bukan Azlan Man, (tetapi) 8 (adun BN lain) daripada kami.

“Saya tak mahu dikatakan gila kuasa. Saya tak mahu arwah bapa saya dalam kubur tersentak-sentak dengan perbuatan yang tak berhemah di permukaan muka bumi. Saya tak mahu macam itu demi ayah saya,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific bersama 7 adun BN, hari ini.

Seorang lagi adun BN daripada MCA tidak hadir kerana perlu menghadiri majlis lain di ibu negara.

Pagi tadi, 9 adun BN memboikot upacara Azlan mengangkat sumpah sebagai menteri besar penggal ke-2 di depan Raja Perlis di Istana Arau.

Tuanku Syed Sirajuddin yang murka dengan ketidakhadiran 9 adun BN itu berkata, beliau tidak melantik Ismail menerajui negeri itu kerana tidak mahu seorang menteri besar boneka yang dikawal kuasa luar.

“Saya bimbang, takutlah silap pilih MB…cuma satu kumpulan dapat faedah. Maaf kalau saya terpaksa ‘reveal’ (perkara ini). Ikhlas saya harap rakyat negeri ini memahami pilihan saya,” kata Tuanku Syed Sirajuddin.

Mengulas lanjut, Ismail mendakwa rakyat marah dengan Azlan ketika menjadi adun Pauh kerana beliau tidak menjaga kawasannya dan berpindah ke kerusi lain pada 9 Mei lalu.

“Orang tahu rekod dia di Pauh tak jelas dan mencuba di kawasan baru sekarang. Di bahagian dia gagal, macam mana kita bagi seorang ketua bahagian yang gagal mengetuai negeri?”

Ismail turut mendakwa Azlan tidak boleh menerima teguran orang lain.

“Dia tak boleh ditegur, anda boleh tanya sesiapa…sesiapa yang berurusan dengan dia boleh tanya. Dia tak boleh terima pendapat semua orang.”

Azlan memenangi kerusi DUN Pauh pada 2013 dengan majoriti 1,382 undi, mengalahkan calon PAS, Idris Yaacob.

Tetapi, beliau bertanding di kerusi DUN Bintong pada 9 Mei lalu dan mendapat kelebihan 847 undi selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, BN mendapat majoriti 2/3 dengan memenangi 10 daripada 15 kerusi negeri yang ditandinginya.

PH memenangi 3 kerusi negeri (Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan), manakala baki 2 kerusi dimenangi PAS (Sanglang dan Guar Sanji).


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...