- Details
- Published on Thursday, 04 February 2016 07:59
Rancangan asal mereka mahu bernikah pada 4 Mac depan namun pasangan Nas-T dan Atita Haris, 24, terpaksa mempercepatkan majlis mereka gara-gara foto kursus kahwin mereka tersebar di internet.
Memetik laporan mStar online, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 33, berkata, perkara tersebut membuatkan keluarga kedua-dua pihak berasa kurang senang dan meminta mereka mempercepatkan pernikahan.
"Pada awalnya kami rancang untuk bernikah pada 4 Mac depan tapi selepas foto-foto hari pertama kami ketika kursus kahwin tersebar di internet, keluarga kami desak agar dipercepatkan," jelas pelakon itu.
Pasangan ini sah sebagai suami isteri pada 29 Januari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan pada pukul 7.30 pagi di Surau Al-Ikhlas, Subang, Selangor.
Majlis resepsi akan diadakan pada 4 Mac depan di Hotel One City, Subang Jaya.
Dalam pada itu, Nas-T berkata, dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas enam bulan berkenalan dengan Atita dan merasakan wanita itu paling sesuai menjadi isterinya.
Meskipun Atita berstatus ibu tunggal namun bukan penghalang dalam hubungan mereka.
Sementara itu, Atita berkata, dia menerima Nas-T seadanya walaupun mengetahui sejarah hubungan pelakon itu dengan wanita lain.
Katanya, Nas-T merupakan individu pertama yang membuka hatinya untuk menerima semula lelaki dalam hidupnya selepas keruntuhan rumah tangganya sebelum ini.