- Details
- Published on Friday, 11 March 2016 10:02
Penyanyi Faizal Tahir, 37, terharu apabila sekumpulan kanak-kanak pelarian Syria akhirnya tersenyum dan mula medekatinya saat dia mendendangkan lagu Assalamualaikum Dunia ketika kali pertama berkunjung di kem pelarian di Jordan itu pada pertengahan Julai tahun lalu.
Menurut bapa anak enam ini, dia sama sekali tidak menyangka kumpulan kanak-kanak itu gembira apabila dia menyanyikan lagu tersebut meskipun lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu.
"Ada antara mereka yang berasa takut dan lari sebaik saja melihat kedatangan kami, tapi ada juga yang menyambut kami dengan mesra bagaikan suasana hari raya. Tetapi antara momen yang buat saya tersentuh, apabila saya menyanyi dan menyebut saja Assalamualaikum, mulanya mereka tak berapa faham tapi kemudiannya mereka tersenyum dan mula mendekati saya.
"Saya gembira kerana dapat berkongsi kasih sayang dan buat mereka seronok sepanjang saya berada di sana. Saya dapat rasakan yang dalam diri setiap kanak-kanak itu, mereka mahukan kasih sayang kita dan rasa dihargai. Mereka mahu orang di luar sana tahu akan kewujudan mereka.
"Ketika misi pertama yang lalu, saya bawakan banyak gula-gula dan makanan ringan untuk mereka. Tapi apabila sampai di sana saya dapati mereka semua gosok gigi pun tidak, terasa bersalah pula bawa gula-gula.
"Jadi untuk misi kali kedua nanti berdasarkan pengalaman pertama, kami akan lebih bersedia dan lebih tahu bagaimana untuk menghiburkan mereka disamping memberikan sokongan moral. Saya juga merancang mahu bawa barang-barang permainan seperti bola atau anak patung supaya nanti bolehlah mereka main bersama kawan-kawan " katanya ketika ditemui pada sidang media One Moment For Them 2.0 baru-baru ini.
Selain Faizal, empat lagi yang artis tempatan yang menjayakan misi kemanusian One Moment For Them anjuran pasukan aktivis Fatiha Shuib and Friends ini ialah Noh Salleh dan isterinya, Mizz Nina, Aizat Amdan dan Mu'adz Dzulkefly.
Sementelah pengalaman kelima-lima mereka sepanjang berada di bumi Jordan telah diilhamkan lagu berjudul Kulul Hubbi Minna Lahum (All Our Love Are For Them). Lagu tersebut dihasilkan mereka ketika 10 minit sebelum mereka beraksi di konsert amal bagi mengumpul dana yang diadakan Jordan. Lagu tersebut akan dilancarkan di seluruh Mesir tidak lama lagi.
Tambah Faizal lagi, dia sangat mengagumi kegigihan pasukan aktivis tersebut yang berani menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha mereka membantu meringankan beban rakyat Syria di kem pelarian Jordan.
"Ketika misi tahun lepas diadakan lelongan barang peribadi. Ada pelajar dari Malaysia yang sanggup membeli kasut saya dengan harga RM3500 sedangkan saya beli harganya tidak sampai pun RM300, kebetulan saya beli kasut itu memang nak dipakai pergi ke Jordan. Saya difahamkan pelajar itu sanggup menggunakan duit tabungan untuk perkahwinannya.
"Saya juga kagum dengan keikhlasan aktivis-aktivis dan pelajar-pelajar di sana untuk membantu pelarian-pelariaan di sana. Untuk membuka sebuah sekolah dan mengajar anak-anak pelarian di sana bukan kerja mudah tetapi Fatiha Shuib and Friends berjaya mengusahakannya dan mereka berani berdepan cabaran. Mereka buat usaha-usaha ini dan berserah saja pada Tuhan, saya tabik mereka," katanya.
Misi kali kedua bakal diteruskan pada 27 April hingga 2 Mei depan. Mereka sekali lagi bakal menjayakan konsert yang mana kali ini akan berlangsung di Mesir pada 29 April 2016.
"Kami ada nyatakan hasrat mahu rasa pengalaman tidur di kem pelarian tersebut. Fatiha agak keberatan mahu benarkan kami menginap di kem itu sebab kami tidak biasa dengan kesusahan dan suasana di situ. Misalnya berkemungkinan berlaku ribut pasir dengan cuaca panas. Tapi saya inginkan sangat cabar diri saya tidur di padang pasir,"tuturnya.
Dalam pada itu, Faizal mendedahkan dia baru mewujudkan sebuah organisasi dibawah nama Faith Man iaitu sebuah gerakan yang membantu masyarakat untuk menjalani kehidupan dan masa depan yang lebih baik.
Projek tersebut turut menarik perhatian sokongan beberapa nama besar dalam industri seni juga kalagan ahli politik namun buat masa ini Faizal tidak mahu mengumumkan nama-nama pihak tersebut kerana mereka masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai bentuk-bentuk bantuan yang akan dijalankan kelak.
"Saya baru tubuhkan Faith Man yang ia sebuah organisasi yang akan memberi tumpuan antaranya kepada gelandangan, satu lagi untuk misi kemanusian Syria dan Palestin, bencana alam dan objektif utamanya akan difokuskan pada pendidikan.
"Saya dalam perbincangan dengan beberapa nama besara dalam industri juga beberapa ahli potik yang juga menujukkan minat mereka untuk sama-sama menggerakkan projek ini," katanya.