- Details
- Published on Monday, 15 February 2016 09:03
.
Aktres bertaraf antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengharumkan nama negara apabila beliau menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih untuk menerima anugerah Officier des Arts et des Lettres daripada kerajaan Perancis pada 12 Februari lalu.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duta Perancis ke Malaysia, Christophe Penot di pejabat kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.
Menurut Penot, Michelle dipilih oleh Kementerian Kebudayaan Perancis kerana bakat seni serta sumbangannya terhadap industri perfileman negara yang popular dengan Menara Eifel itu.
"Michelle pernah bekerja dengan beberapa pengarah dan pelakon Perancis. Secara tidak langsung telah mempromosikan jenama terbaik Perancis. Atas alasan itu, kerajaan Perancis menghargai kejayaannya sebagai pelakon," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo!
Menariknya, ini merupakan kali kedua beliau menerima anugerah daripada kerajaan Perancis.
Pada 2012, bekas Ratu Cantik Malaysia 1983 ini telah menerima anugerah tertinggi awam Perancis, Knight of the Legion of Honour daripada Duta Perancis ke Malaysia ketika itu, Alain du Boispean.
Dalam perkembangan lain, Michelle yang telah bertunang dengan bekas Ketua Pengarah Operasi Ferrari, Datuk Seri Jean Todt, 70, sejak tahun 2005 dikhabarkan bakal berkahwin tidak lama lagi.
Meskipun begitu sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tarikh khusus yang diumumkan oleh beliau dan pasangannya.
“Saya agak lapang pada Mac depan,” ujarnya Michelle ringkas.