Get $25 free
loading...

Kerap Kongsi Aktiviti di Mesir, Cara Hanie Soraya Dekat Dengan Peminat

..

Meskipun terpaksa menetap jauh di Mesir namun penyanyi popular menerusi lagu Hujung Dunia dan Rasa Sayang, Hanie Soraya punya cara tersendiri berkongsikan aktiviti dan perkembangan dirinya dengan peminat di tanah air.

Menurut gadis berusia 22 tahun ini, memandangkan dia jarang dapat pulang ke Malaysia, justeru laman sosial seperti Instagram dan Facebook dijadikan sebagai medium untuknya mendekatkan diri dengan peminat.

"Tanpa sokongan peminat tentunya saya berada di tahap sekarang. Kalau diikutkan memang saya mahu sentiasa dekat dengan mereka juga membuat persembahan untuk mereka. Sayangnya, saya juga terpaksa utamakan pengajian saya.

"Walaupun berjauhan dengan keluarga dan peminat, saya sentiasa berkongsi mengenai aktiviti, rutin dan perkembangan diri saya dengan mereka menerusi Instagram dan Facebook, sekerap yang saya boleh.

"Misalnya jika saya berada di satu tempat saya akan rakamkan suasana atau permandangan di kawasan itu dan kemudian muat naik di IG. Saya mahu peminat saya juga turut merasai apa yang sedang saya rasa ketika itu, katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Pantas, bertempat di pejabat Warner Music Malaysia, Menara TSR, Damansara, pada Khamis.

Hanie yang merupakan penuntut tahun empat dalam jurusan perubatan Universiti Mensoura, Mesir, pulang ke Malaysia kerana bercuti semester selama sebulan. Dia baharu sahaja menyelesaikan semester ketujuh dan masih berbaki enam semester lagi.

Katanya, jika di Mesir tumpuannya diberikan sepenuhnya pada pelajaran. Namun sesekali dia ada membuat persembahan bersama kawan-kawannya. Selain memenuhi beberapa undangan nyanyian daripada pihak tertentu.

"Jika di Mesir fokus saya memang pada pelajaran sepenuhnya. Tapi jika ada kelapangan, sesekali saya akan 'jamming' bersama rakan-rakan. Sekitar tahun lalu saya diundang oleh Kelab Umno London dan membuat persembahan di United Kingdom (UK)," kongsinya.

Dalam pada itu, dia meluahkan rasa syukur kerana kini semakin dikenali ramai serta lagu-lagunya diterima baik oleh peminat muzik tempatan. Pun begitu, dia masih lagi belajar menyesuaikan diri dengan populariti yang diraih.

"Saya bersyukur kerana walaupun masih baru dalam industri muzik tetapi sekarang saya semakin dikenali. Tapi pada awalnya saya rasa janggal dan kekok juga setiap kali peminat menyapa saya tapi lama-kelamaan saya sudah biasakan diri,"ujarnya.

Tambah menggembirakan anak bongsu daripada tiga beradik ini, bukan saja lagu-lagunya menjadi siulan peminat bahkan peminat juga menjadikaan dirinya sebagai idola.

"Saya juga terharu dan gembira kerana ada dikalangan peminat yang memberi komen mengatakan mereka menjadikan saya sebagai inspirasi. Mereka bertanya bagaimana saya boleh melakukan dua bidang yang jauh beza iaitu menyanyi dan dalam masa sama belajar perubatan. Sekaligus membuatkan mereka juga mahu berjaya dalam pelajaran," tuturnya.

Justeru sebagai tanda terima kasih kepada peminat, Hanie tampil dengan single terbaharu berjudul Pantas. Lagu tersebut menyelitkan mesej agar generasi muda memberanikan diri dalam mengejar impian mereka.

"Lirik lagu ni saya yang tulis dan mendapat sentuhan muzik oleh Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong. Lagu ini istimewa kerana ingin menyampaikan mesej positif kepada peminat dan Alhamdulillah sejak ia diperdengarkan, ramai yang menyukainya," katanya.

Manakala video muzik Pantas yang berdurasi 3.59 minit, memaparkan sisi karakter Hanie bersama rakan-rakan yang ceria dan bersahaja dalam menikmati kehidupan diusia remaj. Dalam pada menikmati keindahan hidup, mereka tahu bahwa diusia remaja ini lah masa yang paling tepat untuk mengejar dan menggapai impian.

Video muzik tersebut telah dirakamkan pada September tahun lalu di Pantai Morib Banting Selangor.

 

Previous
Next Post »
loading...