Get $25 free
loading...

Berdebat Dalam Mahkamah, Farid Kamil Ditegur Hakim Syariah

..

Pelakon Farid Kamil, 35, menyifatkan peluang menggalas watak sebagai peguam Syariah dalam drama Qanun 99, umpama mimpi jadi kenyataan kerana sejak kecil lagi dia memang bercita-cita mahu menjadi peguam namun terpaksa melupakan hasratnya itu setelah usianya meningkat dewasa.

 

Dalam drama 13 episod itu, Farid melakonkan watak sebagai Tuan Khalil yang mempunyai firma guaman Tetuan Khalil dan Fairuza. Ditayangkan di saluran Astro Oasis sejak 5 Februari lalu, Qanun 99 turut diterajui pelakon Yana Samsudin.

Setiap episod dalam drama ini memaparkan satu kes syariah berdasarkan kisah benar dan pernah dibicarakan di mahkamah. Kisah tersebut disampaikan dalam bentuk lakonan semula. Kebanyakan kes-kes yang diambil adalah kes syariah yang lebih kepada masalah kekeluargaan, munakahad dan jenayah.

"Baru saya tahu dan rasa tekanannya dalam mengalas tugas sebagai seorang peguam dari pelbagai sudut yang mana sebelum ini kita sebagai orang biasa tidak pernah tahu dengan lebih mendalam mengenai kerjaya ini. Saya juga dapat belajar banyak mengenai selok-belok undang-undang syariah.

"Watak peguam ini sangat peribadi bagi saya sebab saya sebenarnya pernah bercita-cita mahu menjadi peguam. Saya anggap peluang kali ini umpama mengembalikan semula cita-cita saya," katanya ketika ditemui pada ditemui pada penggambaran drama tersebut, bertempat di Cova Square, Kota Damansara, baru-baru ini.

Bagaimanapun Farid mengakui profesyen tersebut mencabar terutama ketika dia perlu berhujah di dalam mahkamah dan disaksikan oleh hakim yang sebenar.

Jelasnya, sepanjang penggambaran yang melibatkan babak di dalam mahkamah, lakonannya dipantau oleh seorang hakim yang mana secara tidak langsung hakim tersebut bertanggungjawab memperbetulkan dari segi tatatertib, protokol dan gaya berhujah yang sebenar.

"Antara yang paling mencabar apabila berdebat dalam mahkamah tambahan dialog-dialog saya memang panjang dan saya perlu menyampaikan mengikut tatacara dan etika yang betul termasuklah bagaimana untuk menyebut terma dan perkataan tertentu dengan betul.

"Mujur ada seorang hakim yang memang dilantik untuk membuat pemerhatian sepanjang penggambaran dan beliau akan menegur jika ada apa-apa yang silap. Secara tidak langsung apabila ada pemerhatian daripada beliau, babak perdebatan itu nampak lebih teaterikal.

"Hanya beberapa kali beliau menegur saya dari segi protokol dan memperbetulkan sebutan beberapa terma perkataan. Tapi beliau ada juga memuji saya dan mencadangkan saya ikuti pengajian jurusan undang-undang," tuturnya sambil tersenyum.

Dalam perkembangan lain, Farid kini membuat persiapan untuk kembai ke lokasi penggambaran filem tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, judul dan genre filem yang bakal dibintanginya masih belum didedahkan

"Sekarang saya juga sedang buat persiapan untuk kembali ke lokasi penggambaran filem tapi buat masa ini saya belum boleh kongsikan lebih lanjut mengenai filem tersebut. Saya juga akan menjalani beberapa penggambaran lain," tuturnya ringkas.

 

- mD

 

 

 

Previous
Next Post »
loading...