- Details
- Published on Thursday, 04 February 2016 08:59
Selepas enam bulan digam oleh beberapa stesen televisyen ekoran namanya terpalit dengan kontroversi penyebaran video lucah dengan dua pelakon lelaki lain, kini kerjaya lakonan Atikah Suhaime kembali berjalan seperti biasa.
Memetik laporan mStar online, Pengarah Urusan Metrowealth, David Teo, berkata, tindakan diambil stesen televisyen berkenaan bagi memastikan sama ada berita tersebut sahih atau tidak.
"Ya, dia dibekukan selama enam bulan oleh stesen televisyen kerana isu itu dan sudah berakhir Disember lalu. Sekarang dia mula dipanggil semula untuk beberapa tawaran berlakon drama.
"Itu adalah proses normal bagi stesen televiyen yang mahu pelakon bersih daripada kontroversi. Mereka mahu lihat bukti sahih sama ada melibatkan artis itu atau tidak," ujarnya.
Tambah David, pihaknya sudah menyiasat tentang sejauh mana kebenaran kontroversi tersebut dan sudah ternyata tiada sebarang bukti mengaitkan pelakon wanita itu.
"Saya ambil serius perkara ini kerana ia menjejaskan masa depan pelakon saya. Saya juga sudah siasat dan memang perkara tersebut tidak benar sama sekali.
"Mungkin juga berita buruk tersebut disebarkan oleh pesaing-pesaingnya dalam industri ini yang tidak senang dengan kehadiran Atikah," ujarnya.
Sementara itu, Atikah mengakui dia mengurangkan pergaulan dengan rakan artis bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh mengaitkan dirinya sekali lagi.
Kata gadis kelahiran Singapura itu, dia bersyukur diberi peluang untuk beraksi semua di dalam drama-drama terbitan stesen televisyen tempatan.