JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mencemar duli memandu sendiri kereta api dari JB Sentral, di sini ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Segamat sebelum berakhir di Kuala Lumpur yang melibatkan jarak lebih 300 kilometer.
Baginda yang tiba kira-kira pukul 9.30 pagi disambut kakitangan KTM Johor Bahru sebelum melakukan pemeriksaan kereta api tersebut selama hampir 10 minit yang mempunyai enam buah gerabak.
Sultan Johor berangkat pukul 9.45 pagi selepas bacaan doa dibacakan Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin dengan diiringi Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan Datuk Bandar Johor Bahru, A.Rahim Nin.
Baginda hanya memandu dari Johor Bahru ke Segamat dengan melalui sembilan buah stesen kereta api di sepanjang perjalanan tanpa berhenti dan dijadual tiba di daerah tersebut kira-kira pukul 2.30 petang.
Selepas itu baginda tidak lagi memandu dan perjalanan diteruskan yang dijangka sampai di Stesen Keretapi Kuala Lumpur (KLO) pukul 5.45 petang.
Utusan Malaysia difahamkan, tujuan baginda yang memandu kereta api untuk kali kesembilan kali ini adalah melihat sendiri tahap kebersihan dan keselamatan pengangkutan awam tersebut termasuk di bahagian landasan.
Sultan Ibrahim juga mahu menguji kecekapan dan kemahirannya memandu kereta api selepas beberapa tahun tidak berbuat demikian.