- Details
- Published on Wednesday, 03 February 2016 13:21
Meskipun jelas nadanya sebak dan sedaya upaya ditahan air matanya daripada mengalir namun pelakon Erin Malek tenang saat berkongsi mengenai adik kembar kepada anak sulungnya Mohamed Faliq Mohamed Farriz, yang meninggal dunia sejak usia 16 minggu dalam kandungannya.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, ketika ditemui berkata, dia mengambil masa selama sebulan untuk redha dengan permergian anaknya itu dan kini menjadi rutinnya pada setiap bulan pergi menziarahi pusara anaknya itu.
"Selepas habis berpantang, saya ambil masa sebulan saya untuk betul-betul boleh menerima. Alhamdulillah, kini saya sudah redha. "Dia" adik Faliq. Sembilan bulan saya kandungkan "dia", "dia" sentiasa dalam ingatan saya dan bila Faliq sudah besar sikit nanti saya pasti beritahu yang dia ada adik kembar.
"Setiap bulan kami sekeluarga akan menziarahi kuburnya,"katanya dengan tenang ketika ditemui pada majlis Tahun Baru Cina anjuran syarikat pengurusannya, Paranormal, bertempat di Sri Damansara Club, pada Selasa.
Kongsinya lagi, selama lima bulan dia melalui saat yang amat sukar selepas dimaklumkan oleh doktor mengenai berita sedih itu. Tetapi dia tetap tabah melawan emosi sedih demi bayinya yang seorang lagi.
"Saya dapat tahu berita itu ketika usia kandungan saya 16 minggu. Dalam badan dia berlebihan air dan menyebabkan degup jantungnya berhenti. Bayangkan betapa sukarnya saya melalui saat itu terutama apabila saya keluar dan berjumpa dengan kenalan-kenalan, mereka bertanya khabar dan teruja kerana mendapat tahu saya hamil bayi kembar.
"Selama lima bulan "dia" berada di dalam kandungan saya. Tidak seperti ibu lain, saya perlu menjalani pemeriksaan setiap dua minggu sekali. Bayangkan setiap kali pemeriksaan, saya sangat gementar dan rasa bimbang.
"Atas nasihat doktor dan sokongan suami serta keluarga saya kuatkan diri. Saya tidak mahu emosi saya memberi kesan pada bayi saya. Saya dan suami saling memberi sokongan satu sama lain. Kami tahu kami perlu tabah demi anak kami. Syukur Faliq dilahirkan dalam keadaan sihat dan comel.
"Sewaktu bersalin, doktor tunjuk "dia" pada saya. Alhamdulillah dia cukup sifat dan kecil sangat," tuturnya dan turut mengakui ada hikmah disebalik yang dilaluinya.
Meskipun bergelar ibu pada usia muda namun tidak sikit pun timbul rasa kekesalan dalam diri sebaliknya status sebagai isteri dan ibu menjadikan dirinya bertambah matang dan seorang penyabar.
Belum terfikir untuk kembali aktif pada lakonan, keutamaan pelakon yang pernah membintangi filem Tentang Bulan ini sekarang hanya pada keluarga. Masih dalam proses pembelajaran dalam menguruskan perihal rumah tangga, mujur suaminya, Farriz, turut sama membantu.
"Diusia 22 tahun saya sudah ada anak, bagi saya ia satu anugerah yang tidak ternilai. Mungkin bagi yang seusia dengan saya ada yang merasakan belum masanya untuk pikul tanggungjawab sebegini.
"Tapi bagi saya pengalaman menjadi ibu dan melihat anak kita membesar adalah momen yang menyeronokkan. Saya tak mahu terlepas momen-momen itu. Saya tiada pembantu rumah jadi semua kerja rumah saya buat sendiri. Setiap hari saya belajar benda baru.
"Faliq sudah berusia empat bulan. Sejak ada dia saya berubah menjadi seorang yang penyabar dan lebih matang. Saya dan suami bergilir-gilir jaga anak kami. Jika waktu siang suami bekerja, saya lah yang menjaga Faliq. Sekiranya saya pula keluar bekerja, suami akan ambil alih. Kami tidak mahu bebankan ahli keluarga masing-masing kerana keluarga saya dan keluarga mertua juga sibuk dengan urusan mereka. Kecualilah jika pada hujung minggu, jika saya atau suami ada urusan, baru kami minta bantuan keluarga untuk jaga Faliq.
"Tawaran berlakon ada tapi buat masa ini saya belum terfikir untuk kembali aktif, mungkin tunggu anak saya besar sikit lagi sebab sekarang saya memang susah nak tinggalkan dia dalam tempoh yang lama, paling lama pun dalam empat jam saja," katanya yang semakin manis sejak bertudung.
Mengulas mengenai perubahan imejnya, Erin berkata dia terdetik untuk berhijab sejak Januari lalu. Mengakui mulanya agak sukar untuk membuat keputusan tersebut tetapi atas sokongan adik perempuannya, akhirnya dia nekad.
"Baru bulan lepas rasa terbuka hati mahu bertudung. Tiada siapa pun tahu kecuali adik perempuan saya sebab dia memang berhijab jadi saya selalu bertanyakan pendapat dia dan belajar pelbagai cara pakai yang sesuai. Dialah yang beri galakan.
"Alhamdulillah, keluarga saya seronok dan menyokong perubahan imej saya. Suami pun gembira. Katanya, kurang lah sikit dosa dia bila saya sudah berhijab,"tututrnya sambil tetawa.
- mD