Biarpun sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni dan penyanyi baru muncul silih berganti, nama Datuk Nassier Wahab utuh di persada seni, malah sehingga hari ini masih lagi aktif menyanyi.
Menariknya, selain aktif membuat persembahan untuk peminat di serata tempat, Nassier juga merupakan salah penyanyi yang mendapat perhatian pihak istana apabila kerap mendapat undangan untuk mengadakan persembahan untuk golongan kerabat.
“Kali pertama saya mendapat undangan istana adalah pada tahun 1989 di mana saya telah dijemput untuk mengadakan persembahan di Istana Negara untuk satu masjlis rasmi ketika itu.
“Pada mulanya memanglah takut dan gementar kerana saya tahu itu bukan tempat biasa, malah penontonnya juga bukan dari khalayak kebanyakkan, namun saya berani mengambil tawaran itu sebagai cabaran baru buat saya ketika itu.
“Alhamdulillah persembahan itu berlangsung dengan sangat baik, malah pihak Istana juga senang dengan cara saya sehinggakan mereka membuka peluang yang seterusnya selepas itu, malah sehingga hari ini saya masih lagi dijemput untuk membuat persembahan di sana,” katanya yang turut menyanyi di Royal Lake Club Selangor selama lebih 14 tahun.
Menurut Nassier lagi, setiap kali membuat persembahan dia sentiasa cuba mengambil tahu tentang apa yang diinginkan khalayak pendengarnya dan menganggap ia adalah perkara paling penting buatnya sebagai penyanyi.
“Kita tidak boleh jadi penyanyi yang syok sendiri dengan menyanyi lagu-lagu yang kita sukai sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira apa yang orang suka kerana tujuan kita membuat persembahan adalah untuk menghiburkan orang.
“Jadi saya sebelum membuat persembahan saya membuat sedikit homework untuk mengambil tahu lagu apa yang mereka suka atau sesuai untuk dinyanyikan kepada mereka dan bukan main menyanyi macam itu sahaja.
“Kalau menyanyi di istana saya tahu lagu bagaimana yang harus saya persembahkan begitu jugalah dengan persembahan di tempat terbuka yang melibatkan peminat dari pelbagai latar belakang, saya perlu tahu mereka lebih sukakan lagu apa,” tegasnya.
Masih lagi popular malah dikenali dalam generasi baru hari ini, pelantun lagu memori Cinta Luka ini belum terfikir untuk berundur dari bidang seni selagi bakatnya masih diterima ramai.
“Pernah juga terdetik di hati saya sampai bila mahu menyanyi, namun sehingga ke hari ini saya masih belum mendapat jawapan yang pasti kerana nyanyian telah menjadi darah daging saya malah minat dalam bidang ini tidak pernah kurang.
“Jadi selagi masih ada yang mahu mendengar nyanyian, saya akan terus berada di sini untuk menghiburkan mereka,” akhirinya yang turut menyertai Gegar Vaganza musim kedua sebelum ini.
lagi info di : Gosip Artis Terkini