TANGKAK - Susulan viral kain rentang yang memaklumkan pembatalan majlis perkahwinan yang viral di media sosial semalam, ahli keluarga arwah pengantin lelaki tampil memberi penjelasan.
Bapa saudara arwah, Musa Basar, 50, berkata, biarpun sedih melihat gambar kain rentang itu viral di media sosial, namun mereka faham akan kesedihan yang dialami oleh keluarga saudaranya itu, lapor Harian Metro.
"Arwah Noor Helmee Roslan, 23, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Singapura ketika dalam perjalanan ke negara itu pada jam 3 pagi, Jumaat minggu lalu.
"Majlis persandingan yang dijadualkan hari ini (semalam), terpaksa dibatalkan. Keluarga pengantin perempuan menggantung kain rentang itu bertujuan memberitahu tetamu yang mungkin tidak tahu mengenai kejadian sebenar.
"Malah, kami terpaksa mengubah majlis menyambut menantu pada 21 Mei ini kerana majlis itu sepatutnya membabitkan arwah serta adiknya yang sepatutnya bersanding bersama pasangan masing-masing," katanya.