Get $25 free
loading...

(SEGERA JADI PM) Anwar dicabar bentuk kerajaan tanpa Tun M


ALOR SETAR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu tanpa pembabitan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam, berkata Anwar harus menyegerakan pelantikannya sebagai Perdana Menteri untuk menyelamatkan Malaysia yang disifatkan semakin tenat.
Beliau berkata, Anwar boleh membentuk kerjasama dengan parti lain dalam pembentukan Malaysia baharu asalkan pemimpin reformasi itu tidak lagi bersama Dr Mahathir.
Kita desak supaya pemimpin PH terutama Anwar tidak lagi bersekongkol dengan Dr Mahathir. Anwar harus berani berpakat dengan parti lain untuk bentuk sebuah kerajaan baharu bagi menyelamatkan Malaysia.
“Selain itu, DAP juga harus disingkirkan dari kerajaan demi bangsa Melayu dan kesucian Islam di negara ini, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Tuntut Janji Rakyat 100 Hari Pentadbiran PH di dataran Menara Alor Setar, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Lokman berkata, pihaknya meramalkan bahawa PH tidak akan mampu menunaikan semua 60 janji dalam manifesto, walaupun sehingga berakhirnya tempoh pentadbiran mereka lima tahun lagi.
Ini kerana, katanya sebahagian besar janji PH yang termaktub dalam manifesto mereka membabitkan kos besar sehingga memberi kesan kepada rizab negara.
“Mereka tidak akan boleh tunaikan walaupun 10 janji kerana kalau tunaikan satu pun melalui penghapusan tol ia memberi kesan kepada rizab negara.
“Contohnya dalam penghapusan tol di negara ini, ia akan menyebabkan kerajaan perlu menanggung pampasan tol sebanyak RM400 bilion seperti disebut Baru Bian (Menteri Kerja Raya) sedangkan jumlah itu hampir menyamai rizab negara, ” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengakui cadangan memansuhkan tol tidak mudah untuk dilaksanakan dengan implikasinya kerajaan perlu menanggung pampasan tol sebanyak RM400 bilion.
Pada masa sama, Lokman berkata, meskipun mustahil PH untuk menunaikan semua janji yang dimasukkan dalam manifesto, namun desakan akan terus dibuat demi rakyat. - BH
Previous
Next Post »
loading...