Mukhriz berkata, post-mortem yang dijalankan oleh jawatankuasa program mendapati promosi yang terhad juga menyebabkan program yang diatur bersempena Ekspo Suka Menanti yang berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos itu tidak diketahui rakyat Kedah.
"Daripada maklum balas yang saya terima, ramai yang tidak tahu mengenai program tersebut kerana ia kurang diuar-uarkan kepada rakyat negeri ini. Mereka ingat ada pameran ekspo sahaja tetapi tidak tahu mengenai program tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Malam Ambang 100 Hari itu bertujuan untuk para Exco dan Menteri Besar membentangkan manifesto PH Kedah yang telah dipenuhi setakat ini namun hanya dihadiri lebih kurang 200 orang.
Mukhriz bagaimanapun yakin rakyat akan turun beramai-ramai pada 25 Ogos ini bersempena Majlis Jelajah Harapan yang akan bermula di negeri Kedah dengan dihadiri kepimpinan tertinggi PH termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Terdahulu, beliau menyerahkan 232 ekor lembu korban kepada 115 penerima bersempena Hari Raya Aidiladha di Dewan Seri Mentaloon dekat sini. - Bernama