Kenyataan kedua-dua pemim­pin itu mencerminkan hasrat DAP yang sebenarnya mahu Kit Siang menjadi Perdana Menteri.
Ramasamy yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, pemimpin yang pa­ling layak untuk dipertimbangkan memegang jawatan Perdana Menteri ialah Kit Siang kerana berdasarkan sejarah dan pengalamannya dalam politik negara.
“Beliau (Kit Siang) menghabiskan bertahun-tahun berjuang un­tuk demokrasi dan keadilan de­ngan mengorbankan hidup sen­diri dan juga ahli keluarganya, malah dipenjarakan dua ka­li di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana politik.
“Daripada semua pemimpin parti politik, orang yang paling bersikap rendah diri ialah Kit Siang, beliau adalah calon utama perlu dipertimbangkan untuk jawatan nombor satu negara ini, sama ada beliau mahu atau tidak memegang jawatan tersebut, ia perkara yang berbeza,” katanya dalam kenya­taan seperti yang disiarkan portal Berita Daily hari ini.
Semalam, Zaid menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebagai Perdana Menteri adalah satu idea yang bernas.
Menurut beliau, jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mungkin cadangan untuk menjadikan Kit Siang sebagai Perdana Menteri bukan cadangan yang buruk.
Dalam sidang akhbar di Pulau Pinang pada 25 Ja­nuari lalu, Kit Siang mengakui bukan men­jadi kesalahan ke­pada sesiapa untuk mempunyai cita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri.
Mengulas lanjut­ kata Ramasamy, tan­pa kehadiran Kit Siang, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain tidak akan jatuh ke tangan pembangkang.
“Kit Siang mungkin dalam pertengahan usia 70-an tetapi beliau sentiasa bersemangat untuk bertugas di seluruh negara dengan menyampaikan ceramah dan mengadakan sidang akhbar.
“Sekiranya DAP dianggap parti terkuat di dalam Pakatan Harapan, maka kredit perlu diberikan kepada Kit Siang,” katanya.
Tambah Ramasamy, rakyat negara ini memerlukan pemimpin yang layak, bertanggungjawab, jujur serta berani untuk menjadi Perdana Menteri dan individu tersebut adalah Kit Siang.