Get $25 free
loading...

Kerjasama dengan IRI: PH cuba menutup bangkai gajah


24 Zulkaedah 1439H, Isnin– Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu lagi menafikan hubungan kerjasama dengan tokoh kanan parti Republikan dan bekas pegawai tinggi perisikan Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, penafian beberapa pemimpin PH bahawa hubungan kerja antara parti itu dengan dengan International Republican Institute (IRI), kononnya hanya membabitkan sesi latihan kepimpinan, ibarat ‘menutup bangkai gajah dengan sehelai daun’.
Beliau berkata, rakyat sudah lama memerhati tindak-tanduk pemimpin PH yang mendapat latihan pihak asing yang berkepentingan, seperti IRI.
“Ini jelas daripada agenda yang dibawa oleh pemimpin PH, serta istilah-istilah yang mereka gunakan.
“Liberty (kebebasan), equality (persamaan) dan fraternity (persaudaraan) amat jelas dalam ucapan pemimpin PH, bahkan melatari agenda reformasi itu sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan beberapa pemimpin PH, termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menafikan dakwaan, bahawa parti itu menjalin kerjasama dengan IRI untuk menjatuhkan BN pada PRU14 lalu.
Ia susulan dakwaan IRI sebelum ini, bahawa usahanya di Malaysia telah membuahkan hasil melalui keputusan PRU14 lalu dan ia menguntungkan AS dari segi saingannya dengan China ketika ini.
Presiden IRI, Daniel Twining dalam sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies (CSIS), bulan lalu memberitahu, Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baharu Putrajaya sejak mula lagi.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Nurul Izzah, dan mendakwa bahawa IRI tidak hanya mengadakan latihan kepimpinan untuk PH sahaja, malah turut melatih BN dan Gerakan.
Mengulas perkara itu, Abdullah Zaik meluahkan kebimbangannya terhadap nilai kepimpinan yang ditonjolkan kerajaan sekarang ekoran pemikiran asing yang dibawa masuk PH ke negara ini.
“Ajaran asing itu membuka luas ruang kemusnahan dan mencabut akar budaya Islam yang berakar umbi dalam peradaban bangsa selama ini,” katanya.
IRI mempunyai kaitan dengan Parti Republikan dan diasaskan sebagai salah satu daripada empat pertubuhan prodemokrasi yang ditaja Jabatan Negara AS dan National Endowment for Democracy (NED) – sebuah pertubuhan bermatlamatkan pengukuhan institusi demokrasi di seluruh dunia, termasuk kesatuan sekerja dan kuasa pasaran bebas.
Berdasarkan video yang dimuat naik oleh CSIS di laman sesawang Youtube pada 17 Julai lalu, Presiden IRI, Twining berkata, pihaknya bekerjasama dengan parti pembangkang sejak tahun 2002 bagi mengukuhkan lagi kedudukan parti itu.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya bukanlah faktor utama parti itu menang pada PRU14 lalu, tetapi kerana salah guna kuasa parti pemerintah yang keterlaluan.
Di dalam video itu juga, Twining memuji langkah kerajaan PH membeku pelaburan infrastruktur China kerana wujud transaksi kewangan yang mencurigakan.
Previous
Next Post »
loading...