loading...

[HANCURKAN PH?] Adakah Rafizi vs Azmin akan bertukar jadi Anwar vs Mahathir? - Shahbudin Husin


ADAKAH PERTANDINGAN RAFIZI/AZMIN AKAN BERTUKAR MENJADI PERTEMBUNGAN ANWAR/MAHATHIR? 

Kempen bagi pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR, walaupun boleh dikata masih di peringkat awal, tetapi telah menunjukkan tanda-tanda menuju episod yang tidak sihat dan merbahaya kepada perpaduan Pakatan Harapan. 

Ia berikutan kem Rafizi Ramli, calon yang akan mencabar Azmin Ali, bukan saja berkempen dengan cara menyerang lawannya dengan pelbagai andaian  dan kemungkinan yang belum tentu betul, malah turut membabitkan nama pihak luar parti itu iaitu Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin. "

Mungkin boleh diterima jika mereka berkempen dalam ruang lingkup perjuangan PKR semata-mata atau menggunakan nama Anwar Ibrahim bagi tujuan menarik undi sesama sendiri, namun dengan melibatkan nama Tun Mahathir dan Tun Daim, ia jelas suatu perkembangan yang tidak baik serta tidak sihat. "

Seorang penyokong kuat Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani dalam kempennya mendakwa, Tun Daim adalah di belakang gerakan untuk menghalang Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir. 


Sambil mendakwa Tun Mahathir dan Tun Daim adalah di belakang Azmin, beliau seterusnya menegaskan, hanya dengan meletakkan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR saja satu-satunya jalan untuk memastikan Anwar dapat menjadi Perdana Menteri. 

Kenapa dilibatkan nama Tun Mahathir dan Tun Daim dalam kempen perebutan jawatan timbalan presiden PKR? 

Bukankah Tun Mahathir sudah menjelaskan lama sebelum ini bahawa beliau tidak terlibat, malah tiada keperluan untuk melibatkan diri dalam politik dalaman PKR? 

Apakah terdapat bukti-bukti mengenai penglibatan Tun Mahathir dan Tun Daim untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri atau ia sekadar strategi untuk menarik undi semata-mata? "

Meskipun demikian, jika kem Rafizi berterusan menggunakan taktik mengaitkan nama Tun Mahathir dan Tun Daim untuk memenangi pertandingan, harus disedari bahawa ia bukan saja tidak menguntungkan PKR, bahkan memungkinkan hancurnya perpaduan dalam Pakatan Harapan.

Tidak mustahil akibat daripadanya akan menyebabkan PKR terbelah dua - tidak kira sama ada jika Azmin berjaya mengekalkan jawatannya atau beliau dikalahkan oleh Rafizi. 

Lebih daripada itu, dengan pecahnya PKR juga akan menyebabkan perpaduan dalam Pakatan Harapan menjadi goyang dan sekaligus akan menipiskan lagi peluang gabungan itu untuk terus kekal berkuasa selepas pilihanraya akan datang. 

Dalam hal ini, untuk apa PKR membiarkan partinya berpecah yang akhirnya tidak saja merugikan dirinya sendiri, masa depan Pakatan Harapan, tetapi mungkin juga mengakibatkan Anwar gagal menjadi Perdana Menteri?

Sebagai jalan selamat dan jika Anwar benar-benar mahu menjadi Perdana Menteri, beliau sebaiknya mesti mengarahkan kem Rafizi menghentikan dengan segera kempen-kempen tidak sihat dan tidak melibatkan pihak lain dalam usahanya memenangi pertandingan, khususnya nama Tun Mahathir dan Tun Daim.

Selain tidak harus dilupakan usaha gigih Tun Mahathir dan Tun Daim dalam tempoh kempen PRU14 yang lalu sehingga BN dapat ditumbangkan, mengapakah terlalu dibimbangkan sama ada Anwar dapat menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya, sedangkan Presiden PKR itu menyatakan sudah ada perjanjian bertulis mengenainya?

Menurut Anwar, perjanjian bertulis mengenai peralihan kuasa itu, selain antara beliau dengan Tun Mahathir, ia juga turut disepakati oleh semua parti dalam Pakatan Harapan.

Jika demikian, apa lagi yang dibimbangkan sangat sama ada Anwar dapat jadi Perdana Menteri atau tidak?

Atau Anwar sememangnya sengaja mahu menghalang dirinya sendiri daripada menjadi Perdana Menteri?  

Dan Anwar seharusnya ingat, jika beliau gagal kali ini, ia adalah kegagalannya buat kali yang kedua, sedangkan Tun Mahathir sudah dua kali merasa duduk sebagai Perdana Menteri. (ShahbudinHusin 13/08/2018).
Previous
Next Post »
loading...