Get $25 free
loading...

'Beri hak milik kekal kampung baru di Perak bercanggah perlembagaan' - MB Perak


Kerajaan Perak tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.
"Keputusan ini sekali gus mengikat semua negeri di Semenanjung Malaysia seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan," katanya semasa menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Ipoh, hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata walaupun ada pandangan terdapat kelonggaran di atas ketetapan itu melibatkan "keadaan-keadaan khas", ia tidak diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara.
Katanya sebarang pindaan perlu dirujuk terlebih dahulu kepada MTN supaya amalan pemberimilikan tidak menjejaskan dasar keseragaman undang-undang mengikut Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui bersama menurut Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam hubungan ini, jika ada tindakan kerajaan-kerajaan Negeri yang membelakangi keputusan MTN tersebut, maka tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Rizab tanah aset kerajaan negeri
Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan tanah-tanah kerajaan negeri tidak boleh diberikan kepada individu sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi kesan kepada jumlah rizab tanah yang merupakan aset kerajaan.
"Sekiranya kerajaan negeri memberikan hak pemilikan kepada semua mereka yang menceroboh tanah kerajaan, ia akan membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti pencerobohan.
"Ini akan memberi kesan jangka panjang kepada perancangan kerajaan untuk tujuan pembangunan, perumahan dan sebagainya pada masa depan," tegasnya.
Beliau berkata atas budi bicara, kerajaan negeri boleh membenarkan tanah-tanah tersebut diusahakan dengan membuat permohonan menyewa atau boleh diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
Ahmad Faizal juga memaklumkan jumlah semasa keseluruhan tanah rizab Melayu di Perak adalah 970,000 hektar atau 46 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan negeri itu iaitu 2.1 juta hektar.
"Jumlah itu masih belum mencukupi untuk memenuhi wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan jumlah tanah rizab Melayu mestilah tidak kurang dari 50 peratus dan kerajaan negeri akan mengambil beberapa langkah meningkatkannya termasuk mewartakan semua tanah di bawah Majlis Agama Islam Negeri Perak," katanya.
Ahmad Faizal turut memberi jaminan kerajaan negeri yang membawa agenda Malaysia Baharu tidak akan membuat keputusan atau dasar yang merenggangkan masyarakat berbilang kaum.
"Saya percaya dan yakin, rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan, selagi mana kita terus memberikan tumpuan dan tenaga kita kepada perkara-perkara yang mampu meningkatkan taraf pendidikan generasi muda, taraf sosioekonomi dan kebajikan semua lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata rakyat meletakkan harapan kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas bukan pengakhiran kepada suatu perjuangan.
"Ia langkah pertama untuk kita membuktikan bahawa kerajaan ini yang dibina atas keringat dan keberanian rakyat, akan terus menjadi kerajaan oleh rakyat dan untuk rakyat," katanya.
- Bernama
Previous
Next Post »
loading...