loading...

Zam cadang Menteri Agama baru TUTUP Sekolah Tahfiz


Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin hari ini mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Mujahid Yusof Rawa menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Beliau yang dikenali sebagai Zam berharap ahli Parlimen Parit Buntar itu berani dan tegas membawa umat Islam kepada realiti dan keperluan terhadap sikap dinamik serta menolak kearaban sebagai keislaman.

“Cegahlah sekolah-sekolah agama menjadikan pakaian Arab sebagai uniform sekolah.

“Galakkan memakai songkok, berseluar dan berkemeja. Cegah kopiah dan berjubah. Sunnah nabi tidak ada lagi dalam jubah yang telahpun dimodenkan oleh ‘Commercialism’,” tulisnya di blog hari ini.

April tahun lalu, Zam menerusi catatan di blognya pernah menyarankan semua sekolah tahfiz swasta digantung atau ditutup serta-merta kerana ia bertumbuh liar, bersistem kuno dan tidak bertamadun yang mungkin membawa tragedi lebih besar.
Zam mencadangkan kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz swasta, susulan kematian pelajar tahfiz berusia 11 tahun, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi selepas kehilangan kedua-dua kakinya akibat jangkitan kuman dan pembekuan darah pada April 2017.

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April 2017 selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi, didakwa memukul Thaqif dengan paip getah.

Bagaimanapun, 3 bulan kemudian, laporan bedah siasat mengesahkan Thaqif meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus, bukannya trauma atau kecederaan akibat dipukul.

Sementara itu, Zainudin turut menyokong kenyataan Mujahid berhubung parti politik yang menggunakan agama atau perkauman untuk kepentingan mereka tidak lagi relevan di negara ini.

“Pandangan agama progresif seumpama inilah yang menampakkan kepimpinan berharapan untuk membawa umat Islam Malaysia keluar daripada amalan agama jumud yang dipromo oleh PAS sekian lama dengan sokongan orang-orang agama yang tidak mendapat pendedahan.”

Hari ini, Malaysiakini memetik Mujahid sebagai berkata, beliau tidak menolak Islam, tetapi agama itu tidak terhad kepada kepartian semata-mata.

“Islam itu adalah satu cara hidup. Islam itu ialah al-din (agama). Kalau letak Islam hanya kepentingan parti, guna ayat al-Quran untuk mengukuhkan bahawa dia mewakili Islam, itu ‘misrepresentation’.

“Kita perlu menjadikan Islam itu menjangkau lebih sekadar politik. Islam bukan hanya kepartian, tetapi Islam ada satu prinsip besar yang memandu sebagai satu panduan kehidupan yang mencakupi ibadah, muamalat, kenegaraaan, undang-undang.”

Previous
Next Post »
loading...