Get $25 free
loading...

Tun M: Saya ingatkan manifesto bukan Bible, ia hanyalah panduan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui pelantikan bekas hakim, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat baru bertentangan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14.
Pengerusi PH itu berkata, manifesto bukannya kitab suci yang boleh dilaksanakan sepenuhnya.
“Saya ingatkan manifesto bukan Bible, ia hanyalah panduan.
“Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia tidak boleh dilakukan. Jadi, kita perlu praktikal, tetapi orang ramai suka seseorang yang tiada kaitan dengan parti,” katanya di lobi Parlimen.
Manifesto PH jelas menyatakan speaker perlu dilantik daripada kalangan ahli Dewan Rakyat, tetapi janji ke-16 dalam manifesto itu ialah mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen di bawah teras melakukan reformasi institusi pentadbiran dan politik.
Dalam janji itu, speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dilantik daripada kalangan ahli dewan yang mempunyai integriti serta kredibiliti, selain perlu berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan itu.
Ariff yang merupakan bekas hakim Mahkamah Rayuan dan bekas ahli Amanah mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Rakyat hari ini, namun ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap pelantikan itu yang didakwa tidak mematuhi peraturan Dewan Rakyat.
Mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1), kerajaan perlu menyerahkan nama speaker kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.
Tetapi, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS mendakwa beberapa pemimpin serta menteri PH dilaporkan pada 2 Julai lalu berkata, kerajaan belum memutuskan siapa calon speaker Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata nama speaker sudah diserahkan pada 2 Julai lalu, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya membincangkan perkara itu pada 8 Julai lalu.
Hari ini, Dr Mahathir berkata, PH menyerahkan nama calon speaker pada 2 Julai lalu.
“(Surat pelantikan speaker) disediakan lebih awal, jadi apabila saya tandatangan, saya yang letak tarikh…Mereka kini bertindak dengan cara sama mereka katakan sebagai teruk,” katanya merujuk tindakan ahli Parlimen BN dan PAS keluar dewan.
Beliau turut menyifatkan tindakan semua ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat sebagai sandiwara.
Katanya, buat pertama kali bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak turut keluar dewan.
“Jadi, kita tahu apa yang berlaku bila mereka keluar dewan.”
Semua ahli Parlimen pembangkang BN dan keluar dewan, kecuali ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin serta Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman. - FMT
Previous
Next Post »
loading...