Get $25 free
loading...

Lebih 700 NGO desak Dr P Ramasamy ditahan


Lebih 700 Badan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi mendesak Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP, Dr P Ramasamy ditahan dan disiasat susulan kenyataannya mendesak kerajaan mengusir pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Laporan itu dibuat beberapa pemimpin NGO diketuai Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Menurut Firdaus Wong, beliau mewakili lebih 700 NGO lain mendesak Ramasamy disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mencetuskan ketegangan kaum dan mengganggu keamanan negara.

"Kenyataan Ramasamy mempunyai unsur kebencian dan provokasi terhadap Dr Zakir Naik dan agama Islam yang boleh membawa perpecahan kaum dan permusuhan antara agama di Malaysia.

"Dia (Ramasamy) mendesak kerajaan hantar pulang Dr Zakir Naik sedangkan kerajaan sudah maklumkan tidak akan hantar beliau pulang. Lagipun, sehingga kini pendakwah itu tidak melakukan jenayah di Malaysia.


"Kenyataan Ramasamy bukan sahaja menyentuh agama Islam tapi ia juga melibatkan kedaulatan negara. Saya percaya NGO bukan Islam pun perlu buat laporan polis jika mereka benar-benar cintakan negara," katanya selepas membuat laporan polis terhadap Ramasamy, di sini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.
Antara NGO yang membuat laporan adalah Penubuhan Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Armada Melayu dan Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia (IQ Malaysia).

Dalam pada itu, Firdaus Wong juga mendesak polis mengambil tindakan terhadap beberapa individu mengeluarkan komen berbaur hasutan dalam laman sosial berhubung isu berkenaan.

"Kita perlu mendesak dan bantu polis dan buru mereka yang buat hasutan melalui online (atas talian). Sebelum ini kita lihat betapa cekapnya pihak berkuasa kita dalam menangani isu Daesh.

"Jadi saya percaya polis mampu tangani isu ini. Setakat ini difahamkan lebih 100 laporan polis telah dibuat di seluruh Malaysia mendesak polis mengambil tindakan kepada Ramasamy," katanya.


Baru-baru ini, Ramasamy mencetuskan kemarahan ramai pihak apabila secara terbuka mendesak kerajaan menghantar Zakir Naik kepada kerajaan India kerana khuatir hubungan Malaysia dan India terjejas disebabkan pendakwah terkenal itu.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut memberi respons mencadangkan kedua-dua individu itu berdebat dan Ramasamy serta Zakir Naik bersetuju dengan cadangan tersebut namun menetapkan beberapa syarat.
Previous
Next Post »
loading...