Get $25 free
loading...

Isu Numan Afifi taktik ‘Muslim Celaru’ alih simpati kepada LGBT


KEBELAKANGAN ini ruang media sosial kecoh dengan isu individu yang bernama Numan Afifi, yang didakwa sebagai pegawai sementara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang baru dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Numan adalah Presiden Pelangi Campaign – kumpulan yang mempromosikan kesetaraan untuk golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) – yang turut menerima kecaman kerana menganjurkan Big Gay Iftar di Bangsar tahun lepas.
Bak kata pepatah – ada angin, ada pohonnya. Pelantikan Numan sebagai pegawai khas meskipun tidak rasmi sudah tentu mengundang pelbagai respon, melihatkan kepada ideologi beliau yang menyokong perjuangan hubungan sejenis.
Bahkan status-status beliau di media sosial turut mengundang pelbagai persepsi, termasuk persoalan berkenaan kecenderungan seksualiti beliau.
Namun, sebagai majoriti umat Islam yang menolak LGBT, kita harus sedar bahawa Numan Afifi adalah seorang lagi yang kita kategorikan sebagai ‘Muslim Celaru’ yang membawa agenda lebih besar – bukan berjuang untuk individu, tetapi kepentingan kumpulan LGBT supaya diterima masyarakat Malaysia.
Bahkan kerugian beliau untuk menjawat jawatan di kementerian kerajaan boleh dilihat sebagai ‘pengorbanan yang sedikit’, berbanding perhatian yang diperoleh kumpulan LGBT di Malaysia selepas isu itu berbangkit, sekali gus menekan lagi kerajaan baru untuk mengiktiraf mereka.
Taktik sebegini bukan lagi strategi baru. Umum mengetahui beginilah caranya kumpulan pendesak LGBT memaksa masyarakat di Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf mereka.
Menurut garis masa yang diterbitkan majalah TIME yang bertajuk ‘This Map Shows How Gay Marriage Spread Across the United States’, kumpulan pendesak LGBT hanya mengambil masa kurang daripada 10 tahun untuk meletakkan seluruh negeri di AS dalam mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.
Malah, tahun lalu AS berdepan dengan desakan supaya individu yang menolak untuk berurusan dengan golongan homoseks dikenakan tindakan.
Justeru, kita dapat melihat bagaimana kumpulan pendesak LGBT bergerak sedikit demi sedikit bagi mencapai apa yang mereka mahu – sebuah negara yang menghalalkan dan mengiktirafkan perbuatan jijik mereka.
Yoruba Richen, seorang pejuang LGBT dan pembikin filem dokumentari pernah memberi ucapan pada 2014 yang bertajuk ‘What the gay rights movement learned from the civil rights movement’. Dalam ucapan itu, beliau menerangkan bagaimana gerakan pendesak LGBT di AS mengatur strategi mereka sehingga ke hari ini.
Pertamanya, golongan pendesak LGBT akan bermula dengan perbuatan yang menunjukkan protes mereka terhadap undang-undang dan budaya setempat yang tidak mengiktiraf mereka. Mereka akan melakukan bantahan di jalanan, sabotaj ke atas sebarang perarakan di jalanan untuk menunjukkan visibiliti mereka dan lantang dalam penulisan di akhbar atau portal.
Taktik ini dinamakan strategi “I’m tired of your foot on my neck”. Seringkali kita akan melihat mereka memainkan naratif ‘mangsa keadaan’ apabila berhadapan dengan sebarang dialog, perbincangan mahupun kecaman daripada masyarakat.
Yang kedua, selepas mereka mencapai objektif strategi pertama – bahawasanya mereka adalah mangsa – mereka akan melaksanakan strategi kedua iaitu ‘We are visible and many in numbers’.
Inilah strategi yang kita dapat lihat menerusi kes Numan Afifi.
Perbuatan beliau yang menganjurkan Big Gay Iftar, berlakon sebagai mangsa keadaan yang akhirnya menyaksikan sahutan dorongan dan sokongan puak ‘Muslim Celaru’ yang lain, yang akhirnya bertujuan menampakkan yang sebenarnya penyokong kumpulan pendesak LGBT ini sebenarnya ramai. Akhirnya, desakan mereka menjadi kuasa melobi pihak kerajaan untuk mengiktiraf LGBT.
Strategi ini juga dapat kita lihat menerusi gerakan antarabangsa yang disokong Facebook ketika Mahkamah Tinggi AS membuat keputusan untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis. Ramai warga dunia, termasuk anak muda ‘Melayu Muslim Celaru’ kita yang menukar ‘profile picture’ mereka berlatarbelakangkan pelangi – warna rasmi LGBT. Ini bertujuan menunjukkan bahawa penyokong LGBT ini ramai dan bukan minoriti.
Seterusnya, strategi yang terakhir ialah ‘Loving’. ‘Loving’ merujuk kepada kes pasangan Loving lawan Virginia pada tahun 1967 yang mendesak agar perkahwinan berlainan kaum diiktiraf di ASt. Kemenangan kes itu akhirnya digunakan sebagai hujah oleh pasangan homoseks untuk mempertahankan perkahwinan sejenis di peringkat perundangan.
Sehingga 2014, terdapat lima kes saman terhadap kerajaan yang mengharamkan perkahwinan sejenis yang akhirnya menang di Mahkamah Tinggi AS. Seterusnya hasil desakan perundangan ini membawa kepada penggubalan dasar dan undang-undang AS yang mengiktiraf kewujudan serta perkahwinan golongan LGBT.
Kesimpulannya, saya ingin mengajak pembaca semua untuk memerhati dan mengawasi perkembangan gerakan kumpulan pendesak LGBT di Malaysia. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit – gerakan mereka ternyata semakin melampau dan lantang.
Jika hari ini kita dapat melihat mereka sedikit sebanyak meniru strategi LGBT di luar negara, besar kemungkinan mereka akan mencapai apa yang telah dicapai di AS.
Tidak mustahil suatu hari nanti akan ada kes puak pelampau LGBT yang akan naik mahkamah dan menggunakan kes berkenaan untuk mengubah undang-undang dan norma di negara kita. Pada ketika itu, jangan kita sudah terhantuk baru hendak terngadah.
Jadi, suarakan bantahan anda dengan lantang bermula saat ini. Gunakan sebaiknya media sosial yang ada untuk memberi tekanan kepada mereka. Kumpulan pendesak LGBT serta pimpinan negara perlu tahu kita sebagai majoriti tidak bersetuju mengiktiraf hak LGBT untuk melakukan perbuatan songsang di negara ini.
Hanis Noor
Aktivis Isma
Pendapat yang diberikan adalah pandangan peribadi penulis
Previous
Next Post »
loading...