loading...

[CEPAT2 HANTAR PULANG] Kos makanan di Depot Pati cecah RM25 juta sebulan


PUTRAJAYA - Kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak RM25 juta sebulan bagi menanggung pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di depot tahanan seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, terdapat 13 buah depoh di bawah kendalian Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan pengusiran segera kepada Pati dan bagi yang perlu didakwa juga akan disegerakan proses itu bagi mengelakkan depoh tahanan ini sesak.

Statistik terbaru, jumlah Pati di depoh dapat dikurangkan daripada purata tahunan adalah di antara 12,000 hingga 13,000 orang.

“Kita tidak mahu tanggung mereka ini di depoh kerana ia melibatkan kos kepada jabatan, Kementerian Dalam Negeri, kerajaan dan rakyat. Malah Pati ini juga membawa sosio budaya berbeza, itu belum lagi aspek penyakit yang menular,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen, di sini, hari ini.

Turut hadir bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, kos itu sepatutnya boleh digunakan untuk pendidikan, biasiswa dan seumpamanya.

RM25 juta sebulan, bayangkan jika setahun. Tapi, dengan ketegasan jabatan dan KDN, kita letakkan ketetapan. Pengusiran akan dibuat dan tindakan pemutihan juga telah dilaksanakan,” katanya.

Tegasnya, pihaknya tidak mahu membuat keputusan secara ‘flip-flop’ dan pelaksanaan Ops Mega 3.0 akan terus dilaksanakan. - SH
Previous
Next Post »
loading...