Get $25 free
loading...

Anwar jalani pembedahan di Turki


Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat menjalani pembedahan tulang belakang di Turki dan dijadual menjalani pembedahan lain di bahu kanannya, Khamis ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya hari ini, Anwar berkata pembedahan di Turki dibuat sejurus selesai urusannya di Jakarta, Indonesia.
"Pemeriksaan koronari angiogram dijalankan ke atas saya ketika di PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) tempoh hari untuk menentukan tahap dan keperluan menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu.
"Tiada kesan signifikan terkait obstructive coronary disease (penyakit jantung koronari), namun sebagai pemulihan lumbar central stenosis secondary serta central disc herniation yang saya alami, saya harus menjalani pembedahan tulang belakang susulan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.
"Alhamdulillah, kesihatan beransur baik usai pembedahan dan saya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada hari Khamis di bahagian bahu kanan rentetan kecederaan kaf rotator," katanya.
Beliau meminta masyarakat mendoakan semuanya berjalan lancar dan kesihatannya beransur pulih.
Anwar turut memuat naik gambar beliau bersama dua anak perempuannya dan doktor di hospital berkenaan.
Gambar berkenaan menampakkan Anwar berdiri menggunakan alat sokongan yang dibalut di bahagian perutnya yang dipercayai dirakam selepas pembedahan.
Beliau sebelum ini dimasukkan ke PPUM selepas mengadu sakit bahu dan belakang sekembalinya dari lawatan ke Turki.

Previous
Next Post »
loading...