loading...

Umno mahu polis pulangkan dana dirampas selepas siasatan

Unit Komunikasi Strategi Umno kecewa dengan tindakan polis merampas baki dana politik itu yang dalam proses pemindahan kepada kepimpinan baru parti untuk membina semula Umno.

PETALING JAYA: Umno mahu polis mengembalikan baki dana politik bagi pilihan raya 9 Mei lalu, yang dirampas baru-baru ini untuk digunakan dalam proses membina semula parti itu.

Unit Komunikasi Strategi Umno berkata, parti itu kecewa dengan tindakan polis merampas baki sumbangan itu ketika dalam proses pemindahan kepada kepimpinan baru, selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno dan Barisan Nasional.

“Umno berusaha memulihkan dana ini dan memohon pihak polis melepaskan dana tersebut dan mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses siasatan oleh pihak berkuasa terbabit.

“Umno dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Unit itu berkata, undang-undang negara membenarkan parti mendapatkan pembiayaan politik dan Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan RM1.2 bilion kepada Umno ketika melepaskan jawatan presiden.

“Secara umumnya, presiden Umno bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk Umno, termasuk dana bagi pilihan raya umum. Hal ini termaktub di dalam perlembagaan parti.

“Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima semua parti politik di negara ini dan hal ini tidak ada bezanya dengan Umno, di mana bekas presiden kita, Datuk Seri Najib Razak telah mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum pilihan raya umum ke-14 dan juga dana menguruskan parti.”

Menurut laporan China Press, hasil pengiraan wang tunai yang diisi dalam bagasi dirampas dalam operasi penggeledahan minggu lalu mendapati lebih RM110 juta disimpan dalam 35 bagasi itu.

Proses pengiraan sejak Isnin lalu hingga semalam, dilakukan di Bangunan 238, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Polis dilaporkan merampas 72 bagasi dari kondominium mewah pada 17 Mei lalu, dengan separuhnya daripada berisi wang tunai, manakala selebihnya mengandungi barang kemas dan beg. Sepuluh peti besi keselamatan bertaraf dunia turut disita.

Selain 72 beg, polis ketika menggeledah 6 premis, termasuk 3 kondominium mewah di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan keluarga Najib dan merampas 284 kotak mengandungi beg tangan mewah, minggu lalu.

Tiga lagi premis itu ialah kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...